LUMUT: Dianggarkan antara 180 hingga 200 premis makanan menawarkan Menu Rahmah di Perak dalam tempoh dua minggu ini, berbanding 57 premis ketika ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, ia berdasarkan maklum balas diterima pihaknya daripada pemilik premis makanan setakat ini.
“Sambutan sehingga kini amat menggalakkan, sebagai contoh enam premis Burger King, empat premis Mydin, restoran makanan ala Thai khususnya di Ipoh, telah menawarkan Menu Rahmah.
“Terbaru, Restoran Nasi Kandar Ayam Merah atau lebih popular dengan panggilan Nasi Ganja bersetuju untuk menyediakan menu bersahur Rahmah pada Ramadan nanti, selain Menu Rahmah pada hari biasa juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Moh Komer Menu Rahmah Nasi Ayam Goreng Kunyit di premis Bubur Ayam Mama di Seri Manjung, hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan pihaknya mendapati ada yang sudah melaksanakan inisiatif Menu Rahmah berharga RM5 sepinggan itu tetapi tidak berdaftar dengan KPDN, justeru pihaknya kini dalam proses untuk mendaftarkan premis tersebut.
Jelas beliau, beberapa program lain di bawah Payung Rahmah juga akan dilaksanakan di negeri ini seperti Jualan Rahmah, Pakej Rahmah dan Bakul Rahmah yang diadakan di Aeon Big di Ipoh, baru-baru ini.
“Beberapa pasar raya lain turut memberi komitmen untuk melaksanakan inisiatif di bawah Payung Rahmah ini (tidak lama lagi),” ujar beliau. – UTUSAN