GEORGE TOWN: Restoran nasi kandar popular tertua di negeri ini, Restoran Hameediyah turut menyahut saranan Kerajaan Perpaduan untuk memperkenalkan Menu Rahmah di rangkaian restoran mereka bermula awal bulan depan.
Pengurus Restoran Hameediyah Lebuh Campbell, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, menerusi Menu Rahmah berharga RM5 itu, pengunjung boleh menikmati lauk ayam, sayur dan nasi putih, malah mereka turut menyediakan air sirap kepada para pelanggan.
“Kami sememangnya merancang memperkenalkan menu mampu milik kepada pelanggan sebelum kerajaan menyarankan peniaga menyediakan Menu Rahmah kepada orang ramai.
”Kami berharap menerusi menu ini kelak akan membolehkan lebih ramai pelanggan menikmati hidangan-hidangan menarik pada harga berpatutan di restoran kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, Menu Rahmah itu akan diperkenalkan pada hari-hari terpilih di restoran berkenaan, namun pelanggan perlu dimaklumkan terlebih dahulu yang mana saiz hidangan adalah berbeza daripada hidangan biasa.
”Kami mungkin akan letakkan Menu Rahmah ini pada hari bekerja, bukan pada waktu hujung minggu atau cuti umum.
”Saiz hidangan menu ini akan lebih kecil berbanding hidangan biasa di restoran memandangkan soal kos juga perlu diambil kira,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya mengakui kos bahan mentah yang meningkat ketika ini merupakan satu cabaran utama yang perlu dihadapi oleh peniaga dalam menghidangkan makanan pada harga murah.
”Soal kos memang tinggi, namun kami tahu tidak semua pelanggan mampu membeli hidangan pada kadar yang biasa dijual di restoran.
”Jadi dengan Menu Rahmah ini, kami dapat membantu menyumbang kembali kepada masyarakat walaupun kami perlu menyerap kos bahan mentah yang tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pemilik restoran nasi kandar, Muhammad Azmin Mohamed Maidin berkata, beliau tidak dapat menghidangkan Menu Rahmah di restorannya memandangkan kos bahan mentah yang tinggi pada masa ini.
”Restoran saya agak kecil dan kami tidak mampu menyerap kos bahan mentah yang tinggi pada masa ini, mungkin pada masa sesuai nanti kami akan perkenalkan Menu Rahmah ini,” katanya. – UTUSAN