Restoran asam pedas antara 25 lokasi Menu Rahmah di Melaka

Restoran asam pedas antara 25 lokasi Menu Rahmah di Melaka

NORENA Jaafar (tengah) bersama Saharudin Mohd. Nor ketika sesi tinjauan Menu Rahmah di Restoran Asam Pedas Selera Kampung di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri mengesahkan bahawa sebanyak 25 buah restoran dan gerai makan di Melaka telah bersetuju untuk menawarkan Menu Rahmah.

Antara yang turut serta adalah Restoran Asam Pedas Selera Kampung di Banda Hilir di sini.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, pihaknya sedang berurusan dengan persatuan-persatuan peniaga, susulan wujud kekeliruan mengenai mekanisme pelaksanaan Menu Rahmah mengikut kemampuan masing-masing.

“Setakat ini 25 peniaga makanan bersetuju, namun kita menyasarkan untuk satu-satu kawasan penempatan itu mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kedai makanan menawarkan Menu Rahmah, kita dalam proses ke arah itu.

“Kita sedang berurusan dengan persatuan-persatuan peniaga, setakat ini ramai yang berminat namun keliru dengan pelaksanaan termasuk tanggapan menu ini perlu diadakan setiap hari, tetapi sebenarnya ia bergantung kepada kemampuan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di Restoran Asam Pedas Selera Kampung.

Sementara itu, pemilik Restoran Asam Pedas Selera Kampung, Saharudin Mohd. Nor, 56, mengakui berdepan cabaran untuk menyediakan hidangan sepinggan lengkap pada harga RM5.

Katanya, Menu Rahmah yang ditawarkan setakat ini melibatkan tiga jenis hidangan iaitu set asam pedas ikan, ayam dan daging tetel.

Jelasnya, ia hanya ditawarkan kepada 100 pelanggan pertama pada setiap Isnin dan Khamis.

“Saya anggap ini adalah kebajikan kepada masyarakat, walaupun murah namun kualiti hidangan adalah setanding menu biasa, cuma kita sesuaikan saiz hidangan sahaja dengan harga RM5 itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya