Repco Low dipenjara setahun, denda RM5 juta cuba keliru pasaran saham 1997 - Utusan Malaysia

Repco Low dipenjara setahun, denda RM5 juta cuba keliru pasaran saham 1997

LOW Thiam Hock hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan rayuan kes cuba mengelirukan pasaran saham pada 1997. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Eksekutif Repco Holdings Bhd., Low Thiam Hock atau lebih dikenali sebagai Repco Low dipenjara setahun dan didenda RM5 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap kesalahan cuba mengelirukan pasaran saham pada 1997.

Kes itu berlarutan sejak tahun 1999 selepas Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengheret Repco Low, 60, ke mahkamah di bawah Akta Industri Sekuriti 1983 atas dakwaan cuba menimbulkan kekeliruan berhubung harga saham Repco di pasaran.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikan selepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan denda yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 29 Februari 2016.

Mahkamah bagaimanapun berpendapat, hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen adalah keterlaluan dan menggantikannya dengan penjara setahun manakala denda RM5 juta dikekalkan.

“Selepas meneliti penghujahan kedua-dua pihak dan rekod rayuan, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan dan mengekalkan sabitan.

“Sabitan adalah selamat, rayuan terhadap sabitan ditolak. Bagaimanapun, hukuman penjara lima tahun adalah keterlaluan dan ditukarkan kepada setahun,” jelas Hakim Azhar ketika mengumumkan keputusan ringkasnya.

Beliau turut membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda terhadap Repco Low sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim Azhar mengekalkan jumlah jaminan RM1.3 juta yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Mat Ghani Abdullah.

Terdahulu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Repco Low memohon mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan penangguhan pelaksanan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Beliau memohon jaminan RM1.3 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen serta pasport diserah sebagai syarat jaminan, dikekalkan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SC, Shoba Venu Gobal membantah penangguhan atas alasan keadaan kes telah berubah selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan terhadap perayu.

Jelas beliau, tiada keadaan istimewa yang mewajarkan penangguhan pelaksanaan diberikan oleh mahkamah.

Pihak pendakwaan turut memohon jumlah jaminan ditambah sebanyak RM1 juta, syarat jaminan pasport dikekalkan serta perayu diarah melapor diri kepada pegawai penyiast SC sebulan sekali.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berhujah, pada asalnya Repco Low dibebaskan dengan jaminan RM300,000 di peringkat Mahkamah Sesyen dan kemudian ditambah sebanyak RM1 juta selepas didapati bersalah.

Peguam bela memohon jumlah jaminan dikekalkan kerana perayu tidak pernah lewat menghadiri prosiding mahkamah.

“Jumlah RM1.3 juta itu sudah terlalu besar dan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah. Jaminan yang terlalu tinggi tidak akan menjadikan perayu ‘lebih bersalah’,” kata beliau.

Muhammad Shafee turut membantah syarat jaminan agar perayu melapor diri kepada pegawai penyiasat SC kerana memadai anak guamnya melapor diri kepada balai polis berhampiran setiap bulan.

Pada prosiding hari ini, pasukan pendakwaan turut diwakili oleh Mohd. Izzuddin Mohamad and Mohd. Hafiz Mohd. Yusoff manakala peguam-peguam New Sin Yew dan Chen Yen Hui turut hadir bagi pihak pembelaan.

Pada 1999, Thiam Hock didakwa di Mahkamah Sesyen kerana mengarahkan seorang wakil Sime Securities Sdn. Bhd. untuk membeli saham Repco Holdings dengan menyerap apa-apa harga tawaran saham itu yang ditawarkan penjual saham di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Perbuatan itu didakwa boleh menimbulkan kekeliruan berhubung harga saham Repco di pasaran.

Kesalahan dilakukan di Sime Securities, Tingkat 21, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman, di sini, antara jam 11 pagi dan 5 petang, 3 Disember 1997.

Pertuduhan mengikut Seksyen 84(1) Akta Industri Sekuriti 1983 dibaca bersama Seksyen 88 (b) akta sama itu memperuntukkan hukuman minimum denda RM1 juta dan penjara sehingga 10 tahun.

Pada 14 November 2006, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Repco Low daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pertuduhan itu adalah cacat.

Pada 15 Oktober 2010, Mahkamah Tinggi menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan pembebasan lelaki itu.

Namun pada 28 Februari 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkanya membela diri terhadap pertuduhan cuba mengelirukan pasaran saham itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya