KUALA KANGSAR: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun maut setelah terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 14, Jalan Kuala Kangsar-Manong di sini semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 4.45 petang itu, mangsa, Nurul Afizah Mohamad Zubir mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari arah Manong menuju Kuala Kangsar.
Katanya, sebuah kereta jenis Volkswagen Golf dipandu lelaki warga emas berusia 69 tahun yang berada di bahu jalan sebelah kiri telah masuk ke laluan motosikal ditunggang mangsa.
“Kereta itu mahu membelok ke kanan untuk memasuki lorong Kampung Sementa, Kuala Kenas. Mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kanan kenderaan tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.
Katanya, siasatan awal mendapati, punca kemalangan akibat kecuaian pemandu membelok ke kanan hingga menyebabkan motosikal yang bergerak lurus melanggar sisi kanan kereta tersebut.
“Lelaki warga emas itu telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN