RCI perlu ditubuhkan siasat kecurian REE Bukit Enggang

RCI perlu ditubuhkan siasat kecurian REE Bukit Enggang

PENDUDUK dan wakil NGO mendesak penubuhan RCI atau tribunal siasatan khas bagi menyiasat kegiatan kecurian REE ketika sidang akhbar di laluan masuk ke tapak kecurian di Bukit Enggang, Sik. -UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Kerajaan Persekutuan diminta campur tangan terhadap isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, di sini dengan menubuhkan satu tribunal siasatan khas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan perkara berkenaan.

Pengerusi Yayasan Jariah Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid berkata, tindakan itu bagi memastikan sesiapa sahaja sama ada penjenayah mahu pun dalang yang terlibat dalam kegiatan itu dibawa ke muka pengadilan tanpa mengambil kira latar belakang setelah isu itu semakin parah dengan penahanan 52 individu, minggu lalu.

“Isu ini perlu dipandang serius apatah lagi melalui tindakan melulu kerajaan negeri yang menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan REE baru-baru ini. Bersandarkan dakwaan penduduk kampung, kecurian REE ini sudah berlaku agak lama.

“Dalam masa sama, banyak pihak merasakan yang ‘pencuri’ ini tak akan dapat masuk tanpa ada kerjasama ‘tuan rumah’. Kita syak benda itu memang berlaku namun tidak dapat dibuktikan setakat ini dan disebabkan itu, wajarlah sebuah tribunal siasatan khas atau RCI ditubuhkan,” katanya dalam sidang akhbar di laluan masuk ke tapak kecurian tersebut di sini, hari ini.

Utusan Malaysia pada 3 Oktober tahun lalu secara eksklusif mendedahkan negara mungkin mengalami kerugian yang tinggi apabila hasil REE di Hutan Simpan Bukit Enggang disyaki dicuri pihak tertentu sejak dua tahun lalu.

Kegiatan itu dilaporkan berulang pada tahun ini apabila serbuan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Imigresen menahan 52 individu yang sebahagian besarnya warga asing selain menyita peralatan dan mesin di tapak tersebut.

Sementara itu, langkah kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) menandatangani MoU bersama Jangka Bakat Minerals Sdn. Bhd. dan Xiamen Tungsten Co. Ltd. dari China baru-baru ini menimbulkan persoalan kerana ianya bercanggah dengan Akta Perhutanan Negara 1984.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, Seksyen 2 dalam akta tersebut secara jelas menyatakan bahawa nadir bumi bukanlah salah satu daripada sumber hasil hutan.

Malah katanya, Mesyuarat Petugas Khas Bagi Mengkaji Kesan Pengeluaran Lanthanide (REE) pada September 2020 di Perak juga menegaskan REE tidak termasuk dalam tafsiran hasil hutan di bawah akta berkenaan.

“Selain itu, ada dakwaan kononnya tidak salah membawa REE keluar dari kompartmen 12 Bukit Enggang kerana kawasan itu merupakan hutan pengeluaran. Memanglah kawasan itu sebahagian hutan pengeluaran tetapi ia perlu dirujuk kembali kepada Seksyen 10 akta sama.

“Dalam seksyen itu, tidak dinyatakan segala yang ada dalam hutan boleh dibawa keluar sebaliknya pengeluaran melibatkan kayu-kayan di bawah perolehan bekalan saja, sedangkan REE bukanlah kayu-kayan. Malah, kegiatan ini berlaku di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang bermakna ianya bercanggah dengan Seksyen 2 dan Seksyen 10 akta tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass) Kedah, Mohd. Sobree Ramli mempersoal kewujudan wakil-wakil rakyat Pas yang sebelum ini turut sama berjuang kononnya mahu mempertahankan Bukit Enggang ketika kawasan itu dibalak secara besar-besaran untuk pelaksanaan ladang hutan pada 2017.

AIR Sungai Jeneri yang mengalir ke Sungai Muda didakwa bertukar warna kepada kehijauan setelah berlaku kecurian REE di Bukit Enggang, Sik.

“Waktu itu mereka termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor belum lagi bergelar wakil rakyat. Ketika itu mereka turut sama melakukan solat hajat mempertahankan Bukit Enggang dan akhirnya menang pilihan raya dengan turut bermodalkan isu alam sekitar di sini.

“Tetapi kini apabila timbul soal REE, di mana suara wakil-wakil rakyat tersebut? Menteri Besar juga nampak tidak serius menangani isu ini dan apa tindakan yang diambil bagi memastikan REE ini tidak dicuri dan dibawa keluar secara haram,” katanya.

Tambahnya, isu tersebut turut menjejaskan sumber air di Sungai Jeneri yang bertukar warna kehijau-hijauan dipercayai akibat kegiatan perlombongan REE di Bukit Enggang setelah mulai keruh sejak kawasan itu diteroka untuk ladang hutan pada 2017. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya