PASIR SALAK: Seorang bapa di Labu Kubong, Chenderong Balai di sini merayu sumbangan orang ramai membiayai kos rawatan anak lelakinya yang menderita sakit buah pinggang.
Fadzil Azhar Mohd Salleh, 34, berkata, keadaan kesihatan anaknya, Iskandar Zulqarnain, 14, semakin teruk selepas disahkan menghidap penyakit tersebut kira-kira tiga bulan lalu.
Menurutnya, anaknya itu akan muntah setiap kali selepas makan selain kaki dan tangan bengkak dan hanya terbaring di rumah.
Katanya, ini menyebabkan anaknya tidak dapat bersekolah seperti biasa.
“Kami hanya tahu dia menghidap penyakit buah pinggang bocor kira-kira tiga bulan lalu. Pada mulanya beberapa bahagian badannya bengkak, saya fikirkan kena gigitan serangga.
“Kami bawa ke klinik berhampiran dan doktor memberikan surat supaya dirujuk ke Hospital Teluk Intan dan selesai ujian imbasan X-ray dibuat, doktor mengesahkannya mengalami kebocoran buah pinggang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, selepas itu anaknya dirawat di hospital selama empat hari dan ketika itu keadaan kesihatannya semakin baik dan dibenarkan pulang namun bengkak pada badan naik semula sebulan kemudian.
Katanya, kini anaknya masih mengalami bengkak pada bahagian badan dan hanya terlantar di katil.
“Penyakit itu menyebabkan anak saya tidak boleh makan, sering muntah-muntah selepas makan, tak sampai lima minit makan pasti akan muntah,” katanya.
Dia merayu sumbangan orang ramai untuk rawatan anaknya kerana dia hanya berniaga air kelapa di tepi jalan.
Malah, dia juga menyara empat anaknya yang masih bersekolah.
“Selain pendapatan hasil jualan air kelapa, ada juga kawan-kawan membantu dari segi kewangan, dapatlah juga meringankan beban tanggungan saya untuk kos rawatan anak,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan terkini oleh doktor, buah pinggang kedua anaknya itu juga rosak.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Fadzil Azhar Mohd Salleh, 0823 8411 0004 2363. – UTUSAN