KUALA LUMPUR: Hubungan cinta antara pelakon, Raysha Rizrose dan pelumba kereta Formula 3 (F3), Nabil Jeffri melangkah ke fasa serius apabila pasangan itu selamat bertunang dalam satu majlis tertutup pada 22 Disember lalu.
Berita gembira itu dikongsi pelakon drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin itu menerusi beberapa keping gambar di Instagram, hari ini.
“Alhamdulillah. Secara rasminya saya telah bertunang,” tulisnya.
Raysha, menerusi perkongsian tersebut tampil menawan mengenakan persalinan serba putih.
Beberapa rakan selebriti tidak ketinggalan meninggalkan ucapan tahniah pada ruangan komen atas pertunangan pelakon berkenaan.
“Oh Tuhan, baby awak kelihatan sangat-sangat cantik. Saya gembira untuk awak,” tulis Nabila Razali.
Selain itu, pelakon, Elvina Mohamad turut menulis ucapan tahniah pada ruangan yang sama.
“Alhamdulillah, awak sangat cantik. Tahniah,” tulisnya.
Raysha dan Nabil menjalin percintaan sejak 10 tahun lalu. Bagaimanapun, perkara itu hanya dapat dihidu selepas perkahwinan kakaknya, Uqasha Senrose dan Kamal Adli, dua tahun lalu.