Rakyat Malaysia parah ditembak di Betong - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia parah ditembak di Betong

TANGKAP layar rakaman video kejadian seorang rakyat Malaysia ditembak dalam kejadian di Bandar Betong, Wilayah Yala, Selatan Thailand kelmarin. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seorang rakyat Malaysia parah ditembak dalam kejadian di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bandar Betong, Wilayah Yala, Selatan Thailand kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim berkata, lelaki berusia 55 tahun dari Kampung Padang Tamat, Pengkalan Hulu itu dipercayai ditembak suspek tidak dikenali.

Katanya, akibat tembakan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut dan paha.

“Kejadian sekitar pukul 9 malam waktu Thailand itu berlaku ketika mangsa yang sedang menunggang motosikal ditembak sebanyak tiga kali di hadapan sebuah kedai serbaneka.

“Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Betong bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek dipercayai warga Thailand itu berjaya melarikan diri dan setakat ini, penyerang terbabit masih belum ditangkap.

Katanya, siasatan dijalankan pihak polis Thailand bagi mengesan suspek tersebut dan motif serangan itu dilakukan sama ada berpunca daripada hal peribadi atau perniagaan.

“Mangsa yang berasal dari Pengkalan Hulu itu dikatakan telah lama keluar masuk ke Daerah Betong kerana dipercayai mempunyai isteri warga Thailand.

“Mangsa yang pernah menjalankan perniagaan pusat hiburan di Bandar Betong juga mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, siasatan kes berkenaan dijalankan sepenuhnya oleh pihak polis Thailand.

“Bagaimanapun, kita akan membantu pihak berkuasa Thailand dari sudut siasatan kes tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN