Pusat temu duga kanak-kanak mangsa rogol, dera perlu ditambah  - Utusan Malaysia

Pusat temu duga kanak-kanak mangsa rogol, dera perlu ditambah 

NANCY Shukri (tengah) diiringi Abd. Jalil Hassan (kiri) dan Penolong Pengarah D11 Bukit Aman, ACP Kamsiah Hassan (kanan) ketika lawatan di Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) di Bukit Aman. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan penambahan Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) terutamanya di Sabah dan Sarawak bagi menangani  kes-kes jenayah kanak-kanak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd. Jalil Hasan berkata, setakat ini, pihak polis mempunyai sebanyak 14 buah pusat CIC di seluruh negara.

“Penambahan ini diperlukan bagi mengambil keterangan kes jenayah kanak-kanak di Sabah dan Sarawak yang mana keluasan negeri yang besar dan agak jauh dari satu tempat ke tempat lain.

“Buat masa ini di negeri-negeri terbabit hanya mempunyai satu pusat di setiap negeri,” katanya ketika lawatan kerja Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri ke Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) Bahagian Siasatan Seksual dan Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah di sini hari ini.

Pusat CIC diwujudkan sejak 2002 sebagai pusat di bawah kendalian D11 bagi mengambil keterangan kanak-kanak yang menjadi mangsa rogol dan penderaan.

Beliau turut melahirkan penghargaan atas lawatan kerja Nancy ke Pusat CIC selain berharap agar beberapa isu dibincangkan dapat diberi perhatian khusus oleh kementerian.

Tambah Abd. Jalil, isu pornografi melibatkan kanak-kanak di negara ini tidak membimbangkan namun perlu dipandang serius oleh semua pihak.

“Kita (PDRM) sentiasa menerima maklumat daripada agensi luar antaranya Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Royal Thai Police berkaitan kes-kes pornografi di negara ini selain membabitkan rakyat Malaysia di luar negara. 

“Setakat ini, sebanyak 52,040 kes membabitkan isu kanak-kanak dan wanita sejak 2018 hingga tahun lalu,” katanya.

Menurut Abd. Jalil, jumlah itu membabitkan kes keganasan rumah tangga iaitu 30,346 kes diikuti kes rogol (6,946) kes dan kanak-kanak hilang (4,896) kes.

Ujarnya, dalam tempoh terbabit, sebanyak 4,962 kes amang seksual direkodkan selain dera kanak-kanak (2,933) kes; sumbang mahram (1,334) kes, rogol berkumpulan (365) kes dan kanak-kanak maut akibat didera iaitu 258 kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya