Pusat sehenti golongan penjaja diwujud - Utusan Malaysia

Pusat sehenti golongan penjaja diwujud

Pusat sehenti penjaja
Rodziah menyaksikan kesemua peniaga menandatangani perjanjian usahasama antara Depenksel dan JW Equipment di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.  - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dewan Perniagaan dan Keusahawanan Selangor (Depenksel) mengambil  peranan sebagai pusat sehenti bagi golongan peniaga dan penjaja mendapatkan keperluan mereka dengan lebih mudah dan terjamin.

Perkara tersebut dimeterai dalam satu perjanjian usaha sama antara Depenksel dan JW Equipment Sdn. Bhd. menerusi penubuhan sebuah syarikat bertujuan khas (SPV), Rangkaian DPU Sdn. Bhd. bagi mengendalinya.

Malah, sebagai jaminan kepada pelaksanannya, kedua-dua entiti tersebut bakal memegang kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Presiden Depenksel, Datuk Anowar Che Omar berkata, secara dasarnya, program tersebut berfungsi dengan pihaknya mempromosikan barang kelengkapan keperluan peniaga dari kilang JW Equipment kepada golongan peniaga dan penjaja di negeri itu.

“Depenksel berperanan sebagai pusat sehenti dalam menyediakan semua kelengkapan yang diperlukan oleh peniaga dan penjaja termasuk peralatan seperti khemah perniagaan dan alatan lain dengan harga yang lebih berpatutan serta jaminan kualiti terbaik.

“Jadi apabila peniaga dan penjaja memerlukan apa saja berkaitan keperluan alatan perniagaan mereka tidak perlu pening atau tercari-cari sebaliknya boleh mendapatkannya melalui Depenksel,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Beliau menambah, peniaga dan penjaja  juga berpeluang mendapatkan bantuan jika layak menerusi Tekun, Hijrah Selangor dan bank sekiranya perlu.

Terdahulu, Depenksel dan JW Equipment memeterai perjanjian usaha sama sambil disaksikan Pengerusi Tetap Jawatankuasa Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail.

Dalam pada itu, Anowar menjelaskan, program tersebut akan memanfaatkan segala sumber dan menggunakan jaringan strategik tersedia di samping menerokai peluang- peluang baharu bagi memastikan pembangunan dapat direalisasikan.

Mengulas lanjut, program berkenaan akan bermula di Selangor sebagai permulaan dan akan dilanjutkan ke negeri-negeri lain secara berperingkat.

“Melalui perjanjian usaha sama ini juga, maka ruang lingkup dan jaringan pemasaran Depenksel menjadi lebih luas dan dapat memberi manfaat kepada lebih ramai para peniaga dan penjaja di Selangor khasnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN