KUALA TERENGGANU : Semua resort, hotel dan chalet di pulau-pulau peranginan seluruh Terengganu akan mula beroperasi secara berperingkat pada 1 Mac depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, setelah empat bulan ditutup sejak 1 November tahun lalu, semua pengusaha pelancongan telah bersedia menerima kemasukan pelancong ke pulau-pulau di Terengganu.
“Sebenarnya, tiada arahan khusus untuk menutup operasi resort, chalet atau hotel di pulau sepanjang Monsun Timur Laut kerana ada yang masih meneruskan operasi mereka bergantung kepada keadaan cuaca.
“Kebanyakan pengusaha juga sudah faham lumrah cuaca dan kesesuaiannya untuk pelancong hadir, cuma kita ingatkan agar mereka mengutamakan aspek keselamatan pelancong.
“Kemeriahan percutian di pulau akan lebih terasa pada 1 Mac apabila banyak pengusaha telah mula menawarkan pakej percutian menarik di tempat masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media mengenai penganjuran Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2023 di Taman Tamadun Islam di Losong di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ariffin berkata, pihaknya menjangkakan seramai 100,000 pengunjung akan hadir di KBTM yang akan berlangsung di Padang Astaka, Kemaman pada Khamis hingga Sabtu ini.
Katanya, penganjuran KBTM adalah untuk memberi peluang kepada pemain industri seperti hotel resort, chalet dan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) mempromosikan pelbagai pakej menarik kepada pengunjung yang hadir.
Menurutnya, lebih 30 aktiviti menarik disediakan sepanjang KBTM itu berlangsung termasuk jualan pakej percutian dan pelancongan pada kadar harga yang sangat berpatutan hingga 50 peratus.
“KBTM adalah antara 17 acara ikonik daripada 100 aktiviti yang dirancang dalam Kalendar Acara Tahunan (COE) 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu pada tahun ini.
“Kita bawakan sama produk-produk pelancongan seperti bas kayu (BAS Kite) dan beca berhias, malah pengunjung berpeluang menggunakan perkhidmatan itu secara percuma.
“Pemberian lemang Kijal yang terkenal dengan keenakannya juga akan dilakukan secara percuma pada hari Jumaat dan Sabtu bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang di tapak karnival,” katanya. – UTUSAN