NIBONG TEBAL: Gara-gara mengupah kontraktor warga asing, seorang pemilik rumah berdepan kerugian kira-kira RM200,000 selepas rumahnya disita Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pulau Pinang hari ini.
Rumah dua tingkat terbabit antara tiga kediaman yang disita atas pelbagai kesalahan menerusi operasi yang dijalankan di sekitar daerah ini bermula pukul 10 pagi ini.
Pengarah CIDB negeri, Zahidi Hashim berkata, operasi dilaksanakan bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas pihak CIDB menerima aduan berhubung pemilik rumah tempatan menggajikan kontraktor asing bagi kerja-kerja mengubah suai kediaman.
Katanya, antara kesalahan lain yang dikesan ialah kontraktor yang menjalankan kerja pengubahsuaian tidak memiliki Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) serta PPK tamat tempoh.
“Inilah risiko yang perlu dihadapi pemilik rumah sekiranya mengupah kontraktor warga asing atau yang tidak berdaftar kerana projek pengubahsuaian yang dijadualkan akan terganggu apabila kita menjalankan kerja penguatkuasaan.
“Pemilik rumah turut akan menanggung kerugian ekoran kerja-kerja ubah suai tergendala sedangkan wang deposit sudah dibayar kepada kontraktor.
“Selain itu, pemilik rumah juga perlu melantik kontraktor berdaftar baharu sekali gus akan melibatkan kos tambahan yang membebankan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, secara keseluruhannya, sembilan notis dikeluarkan susulan melanggar Seksyen 25(1) Akta Lembaga Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Pindaan) 2011.
“Kita beri tempoh 14 hari untuk pemilik rumah dan syarikat kontraktor untuk memberikan kerjasama dan maklumat yang diperlukan bagi membantu siasatan.
“Mana-mana individu yang ingkar boleh dikenakan kompaun sehingga RM100,000,” katanya. – UTUSAN