SHAH ALAM: Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor menyasarkan sekurang-kurangnya 1,500 pengunjung akan hadir merebut peluang pekerjaan sempena Program Kerjaya Graduan anjuran kedua pihak tersebut.
Antara syarikat ternama yang menawarkan kira-kira 5,000 pekerjaan adalah Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii), Proton dan Datasonic Group Berhad.
Menurut kenyataan PTAR, program tersebut merupakan platform pencarian pekerjaan di bawah satu bumbung yang menghimpunkan pelbagai syarikat tempatan dan terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Program bertempat di ruang Library Community Engagement (LCE), PTAR UiTM Shah Alam terbuka buat komuniti sekitar Shah Alam khususnya golongan belia yang sedang mencari peluang mempertingkat taraf hidup.
“Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 Februari sehingga 23 Februari akan menghimpunkan lebih 20 organisasi yang menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan bermula peringkat sijil hingga pasca siswazah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi,kumpulan syarikat yang terdiri daripada pelbagai latar industri seperti kejuruteraan, perniagaan, teknologi maklumat, hospitaliti, perubatan dan pembinaan bersedia menemubual individu yang telah mengisi borang pra-pendaftaran.
“Untuk warga UiTM borang pendaftaran boleh diisi di pautan https://mobileptar.uitm.edu.my/p4g3s/p4g3s.php?p=023 dan untuk bukan warga
UiTM di pautan https://bit.ly/PKERJAYAGRADUANUiTM.
“Sekiranya tidak berkesempatan, kaunter pendaftaran turut disediakan dan individu yang hadir perlu membawa bersama resume dan sijil-sijil berkaitan sebagai persediaan sesi temubual bersama bakal majikan.
“Maklumat lanjut berkaitan program ini boleh dilayari di media sosial rasmi PTAR termasuk Facebook dan Twitter,” katanya. –UTUSAN