PETALING JAYA: Biarpun terpaksa memotong 10 babak untuk mendapatkan klasifikasi PG13, penerbit filem kontroversi, Pulau tetap meletakkan sasaran pecah panggung dengan kutipan lebih RM7juta.
Penerbitnya, Fred Chong percaya Pulau mampu menarik penonton tempatan walaupun pernah berdepan kontroversi dan menerima kecaman hebat.
“Untuk mendapatkan klasifikasi PG13, kami terpaksa memotong 10 babak. Pada mulanya Pulau mendapat tayangan 70 pawagam menerusi Skim Wajib Tayang. Tetapi pihak pengedar berjaya mendapatkan 127 pawagam. Cuma apabila Pulau diharamkan di sebuah negeri, jumlah berkurang kepada 124 pawagam.
“Apa pun, saya berharap Pulau berjaya mengatasi rekod kutipan peribadi sendiri RM7 juta menerusi filem Nasi Lemak 2.0,” katanya ketika tayangan perdana Pulau yang menampilkan pelakon Amelia Henderson,Alif Satar dan ramai lagi di sini hari ini.
Sementara itu, Fred menjelaskan, pohaknya masih menunggu keputusan rayuan membatalkan pengharaman tayangan filem tersebut di Terengganu.
“Sejujurnya kami masih berharap. Kami sudah menghantar rayuan seminggu lalu tetapi masih menunggu jawapan daripada kerajaan negeri.
“Bercakap soal kerugian, setakat ini kita tak boleh cakap. Kita berharap agar Pulau tidak berdepan kerugian. Cuma ada beberapa penaja menarik diri. Tetapi kita percaya, Pulau adalah satu filem yang baik dan harus ditonton. Jadi kita berharap agar penonton terbuka dengan filem ini,” katanya. – UTUSAN