Polis sahkan tentera lepas tembakan ketika kejar penyeludup ketum

Polis sahkan tentera lepas tembakan ketika kejar penyeludup ketum

ANGGOTA tentera memeriksa kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux membawa daun ketum yang terbabas ketika dikejar di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang di Padang Terap. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Polis mengesahkan pegawai tentera yang mengejar suspek disyaki penyeludup ketum melepaskan beberapa das tembakan sehingga menyebabkan kenderaan dinaiki dua lelaki itu terbabas ke bahu jalan.

Ketua Polis Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand itu pada mulanya cuba menghimpit motosikal tentera ketika dikejar.

“Pacuan empat roda tersebut juga hampir melanggar kenderaan awam menyebabkan pegawai tentera yang membonceng motosikal telah melepaskan beberapa das tembakan dan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke bahu kanan jalan.

“Pasukan tentera pada mulanya mengekori kenderaan tersebut yang baru keluar dari kawasan hutan dan dipandu dalam keadaan mencurigakan. Walaupun diarah berhenti tetapi pemandunya terus memecut sehingga terpaksa dikejar,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam, dua lelaki warga tempatan diberkas selepas kenderaan mereka terbabas ke dalam longkang sehingga mengakibatkan bungkusan daun ketum bertebaran di bahu jalan.

Kemalangan menyebabkan salah seorang lelaki terbabit cedera di kaki dan rakannya luka di kepala sebelum mereka dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk menerima rawatan.

Pemeriksaan yang dibuat oleh anggota tentera terhadap kenderaan pacuan empat roda itu menemukan beberapa lagi bungkusan disyaki berisi daun ketum yang berat keseluruhan mencecah 1 tan dan bernilai kira-kira RM38,000.

Sementara itu, Mulkiaman berkata, tiada sebarang kejadian atau kecederaan melibatkan orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian dalam insiden terbabit.

“Orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana kes masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah kanun keseksaan dan Akta Racun 1952. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya