DUNGUN : Polis membuka kertas siasatan berhubung kes pergaduhan tiga individu di hadapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis dan dipanggil untuk siasatan lanjut.
“Punca kejadian pergaduhan itu dipercayai berlaku ekoran rasa tidak puas hati terhadap salah seorang pemandu yang tidak memberi laluan untuk memotong kenderaan di hadapannya.
“Kita telah membuka kertas siasatan dan kita akan merujuk kertas siasatan ini kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Baharudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan iaitu memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam, Seksyen 160 kanun yang sama iaitu gaduh gempar serta seksyen 506 juga kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
“Jika didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara selama dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-keduanya,” katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp sebuah video berdurasi 1.52 minit mengenai aksi pergaduhan dan pergelutan tiga lelaki di tepi jalan berhadapan PSMZA, di sini sejak semalam.
Video yang dirakam pengguna jalan raya itu memaparkan seorang lelaki berbaju hitam bergelut dengan seorang lelaki berbaju putih serta seorang lagi lelaki berkopiah dan pergaduhan itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. – UTUSAN