KUALA TERENGGANU: Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) akan menanam lebih banyak pokok ru dan bakau untuk mengurangkan hakisan di kawasan pantai di negeri ini.
Penolong Pengarah Kanan (Pembangunan) JPNT, Helmy Tariq Othman berkata, pokok tersebut ditanam mengikut kesesuaian tanah di kawasan pantai terlibat.
Menurutnya, tindakan yang diambil itu merupakan antara usaha untuk mengelakkan kejadian hakisan pantai bertambah buruk selepas ini.
Katanya, tanaman pokok ru dan bakau di pantai negeri ini juga termasuk dalam Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen penanaman 100 juta pokok peringkat kebangsaan dalam tempoh lima tahun bermula 2022.
“JPNT telah menanam sejumlah pokok ru dan bakau di sepanjang pantai di Terengganu sejak tahun lalu sempena kempen penanaman 100 juta pokok,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Pokok Landskap di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini hari ini.
Helmy Tariq memberitahu, setakat ini sebanyak 800,000 pokok pelbagai jenis telah ditanam di seluruh negeri ini menerusi program tersebut.
Jelasnya, pihaknya juga menanam beberapa jenis pokok balak di kawasan penebangan pokok balak di negeri ini.
Selain itu tambahnya, sebahagian pokok jenis lain juga ditanam di kawasan perumahan, masjid, taman rekreasi dan sebagainya.
“JPNT menyasarkan penananam sebanyak 1.02 juta pokok di negeri ini sehingga 2026,” katanya. – UTUSAN