PN perlu urus persepsi rakyat untuk menang PRN - Utusan Malaysia

PN perlu urus persepsi rakyat untuk menang PRN

MUHAMMAD IZMER YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) perlu bijak menguruskan persepsi ekoran pendakwaan rasuah terhadap pemimpin parti itu bagi mengekalkan momentum dan sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, masih terlalu awal mengambarkan sokongan terhadap PN bakal merosot ekoran kes rasuah itu.

Menurut beliau, isu itu bakal memperlihatkan dua pandangan sama ada boleh melemahkan persepsi rakyat kepada Bersatu atau PN atau rakyat melihat bahawa kerajaan menggunakan kuasa dalam menghapuskan musuh politik melalui pendakwaan berkenaan.

Justeru katanya, pengurusan persepsi dilihat sangat penting khususnya dalam mendepani PRN dijangka tidak lama lagi.

“Kes (pendakwaan) masih terlalu awal dan belum melibatkan ‘top gun’ lagi seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang belum dituduh. Setakat semalam, baru Datuk Wan Saiful Wan Jan dituduh yang bagi saya belum level ‘top gun’ seperti Datuk Seri Najib Tun Razak atau Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

“Bagi saya masih terlalu awal isu pendakwaan ini boleh menjatuhkan PN melainkan jika Muhyiddin atau Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa.

“Seperti saya sentuh, rakyat boleh terbahagi kepada dua pandangan dalam isu berkenaan sama ada Pakatan Harapan (PH) membersihkan rasuah atau menggunakan kuasa tekan musuh politik,” katanya.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, Bersatu menyifatkan tuduhan rasuah terhadap Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor sebagai pendakwaan terpilih terutamanya menjelang PRN.

Presidennya, Muhyiddin menyifatkan tuduhan itu sebagai terancang dan dirancang.

Terdahulu Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Turut didakwa Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad selepas didapati terdapat kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Muhammad Izmer berpandangan kerajaan diterajui PH dan UMNO Barisan Nasional (BN) sepatutnya menggunakan masa yang terhad sebelum PRN dengan membuktikan mereka mampu membawa perubahan ekonomi dan taraf hidup rakyat bukan melemahkan lawan dengan tekanan kes rasuah atau persepsi negatif.

“Nak masuk 100 hari pemerintahan kerajaan perlu cari solusi dalam menyelesaikan isu taraf hidup dan ekonomi ini khususnya berkaitan kenaikan harga barang yang masih belum selesai. PRN ini penting untuk rakyat melihat kerajaan sekarang adalah lebih baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya