KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan mempertimbangkan untuk menambah peruntukan khas kepada Sabah pada tahun ini.
Katanya, sebelum ini beliau telah mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM300 juta kepada Sarawak dan kurang daripada RM300 juta kepada Sabah namun, hari ini beliau mengumumkan untuk pertimbangkan tambahan peruntukan tersebut.
Peruntukan khas yang tidak selesai dibincang selama lebih 30 tahun ini akan membantu mempercepatkan proses pembangunan di negeri ini kerana pembangunan Sabah sudah jauh ketingalan.
Katanya, Sabah masih jauh ketinggalan maka, beberapa peruntukan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diberi perhatian di bawah kerajaan perpaduan.
“Di peringkat permulaan kita memberi kuasa kepada negeri untuk mengurus projek bernilai RM50 juta ke bawah jadi kita mahu ia dicerakinkan mengikut beberapa prosedur.
“Apabila kita beri kuasa kepada negeri maka, pada lawatan akan datang, saya akan bertanya kepada Ketua Menteri bila projek itu akan siap.
“Jadi, ini adalah cabaran kepada penjawat awam di negeri ini terutama Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya semasa Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan di Sabah hari ini.
Dalam pada itu, beliau menggesa penjawat awam untuk sama-sama dengan kepemimpinan negeri meletakkan Sabah di landasan yang betul dengan menghentikan segala ketirisan dan kebocoran dalam pentadbiran kerajaan. – UTUSAN