Planet Us mendidik, menggalakkan belia di Kuala Lumpur

Planet Us mendidik, menggalakkan belia di Kuala Lumpur ke arah tindakan iklim mampan

planet us
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program kesedaran alam sekitar  Planet Us tiba di Kuala Lumpur dalam usaha memberi maklumat dan menggerakkan belia di seluruh Malaysia tentang memerangi krisis iklim melalui tindakan mampan.

Dianjurkan bersama oleh organisasi sosial Biji-biji Initiative dan Kedutaan A.S. Kuala Lumpur, Planet Us ialah pameran pendidikan interaktif yang mendidik dan memberi inspirasi kepada belia Malaysia untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menangani krisis iklim dan dalam menyumbang kepada masa depan alam sekitar yang mampan.

Diterajui oleh rangkaian Sudut Amerika Kedutaan A.S., Planet Us akan berlangsung di The Square, Publika Shopping Gallery Kuala Lumpur dari 15 hingga 19 Februari, dan di Taman Tugu dari 24 hingga 26 Februari.

Pameran ini menampilkan pelbagai bengkel mengenai topik seperti berkebun untuk makanan, kehidupan sifar sisa, dan kitar semula. Pengunjung juga boleh melihat pameran fizikal interaktif, yang menyampaikan maklumat menarik tentang kemampanan bandar, perlindungan hidupan liar dan pemuliharaan sumber marin.

Di samping itu, pengunjung boleh mengambil bahagian secara maya dalam pertandingan kitar semula Planet Us, yang menggalakkan belia untuk menukar sisa buangan kepada sesuatu yang mempunyai kegunaan dan menarik. Peserta juga boleh bermain permainan dalam talian di laman web Planet Us (http://www.planetus-exhibit.com) untuk menguji tabiat kemampanan mereka dan lebih memahami langkah harian yang mereka boleh ambil untuk mengurangkan sisa buangan.

Planet Us menekankan tiga tindakan iklim untuk kemampanan: Memulihara penggunaan sumber asli secara bertanggungjawab, Memelihara sumber alam sekitar, dan Berinovasi menggunakan teknologi dan penyelidikan untuk menyelesaikan cabaran alam sekitar.

Melalui tiga tindakan iklim ini, Planet Us berhasrat untuk meningkatkan kecelikan alam sekitar, menggalakkan tabiat mampan, dan melaksanakan penyelesaian ke arah perubahan iklim dalam kalangan belia Malaysia.

“Matlamat utama kedutaan kami ialah menyokong usaha Malaysia dalam tindakan iklim mampan. Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Biji-biji Initiative, yang melakukan kerja yang menakjubkan dalam pendidikan dan kemampanan dalam komuniti.

Sejak Jun 2022, Planet Us terus mendidik ribuan belia Malaysia tentang kesan tindakan harian mereka terhadap alam sekitar. Kami menggalakkan belia Malaysia untuk terus meningkatkan kesedaran mereka tentang kemampanan alam sekitar dan menyedari bahawa setiap langkah
kecil yang mereka ambil boleh pergi jauh ke arah melindungi alam sekitar,” kata Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan A.S. Kuala Lumpur, Michael Newbill.

Rakan kongsi program di Kuala Lumpur, EcoKnights, yang diwakili oleh Presidennya, Dr. Yasmin Rashid berkata, “Melalui penyertaan kami dalam pameran dan bengkel Planet Us, kami harap dapat menyumbang usaha untuk memberi impak ke arah perubahan iklim. Langkah yang kecil boleh pergi jauh. Saya berharap dapat berkongsi pengetahuan yang saya dapat dengan menyertai kempen ini bersama keluarga dan rakan-rakan saya supaya kita semua dapat hidup di Malaysia yang lebih mampan.”

Ketua Pegawai Eksekutif Biji biji, Juliana Adams pula berkata,  “Kita masing-masing mempunyai peranan dalam mencipta masa depan yang lebih mampan. Sama ada mengurangkan penggunaan tenaga kita, mengitar semula atau menyokong produk yang mampan, setiap tindakan membuat perbezaan.

“Sebagai rakyat Malaysia adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengambil tindakan sekarang untuk mencipta masa depan yang mampan untuk diri kita dan generasi akan datang. Bersama-sama, dan melalui kesedaran yang dipupuk oleh Planet Us, kita boleh mewujudkan sebuah negara yang lebih mampan dan makmur.”

Sejak penubuhannya pada Jun 2022, Planet Us telah melakukan program libat urus untuk belia di seluruh Sarawak, Kedah, Kelantan, Sabah dan Pulau Pinang sebelum membuat persinggahan akhir di Kuala Lumpur.

Setiap persinggahan termasuk bengkel, perbincangan panel, gotong-royong bersama komuniti dan aktiviti lain yang boleh disertai orang ramai. Program ini dijangka mencecah 5,000 belia Malaysia menjelang akhir kempen. Sehingga kini, kira-kira 6,000 rakyat Malaysia telah membuat ikrar alam sekitar di laman web Planet Us, dan ratusan rakyat Malaysia telah menyertai pertandingan kitar semula. Pemenang akan diumumkan semasa acara akhir Planet Us dan akan menerima geran mikro bernilai sehingga RM 5000.

Untuk butiran lanjut mengenai kempen dan kemas kini, lawati laman web Planet Us (biji- biji.org) dan ikuti halaman Instagram ini. Anda juga boleh mendapatkan maklumat tentang program, pameran, bengkel dan poster infografik tentang alam sekitar, kemampanan dan perubahan iklim.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi: Rubini Maruthian| 012 220 7547| [email protected] . – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya