KUALA TERENGGANU : Pakatan Harapan (PH) Terengganu hari ini tampil membuat laporan polis berhubung perarakan sekumpulan pemuda bersama replika senjata sempena program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di Setiu pada Jumaat lalu.
Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan terhadap isu itu kerana telah memberikan persepsi tidak baik terhadap mesej kedamaian yang dibawa oleh Islam demi keharmonian rakyat di negara ini.
“Pas kini lebih berani dan lebih bebas bermaharajalela menunjukkan sikap ekstrim mereka yang berarak di jalanan dengan membawa replika senjata dan lengkap berpakaian perang.
“Ini menimbulkan kegerunan dan kebimbangan orang awam. Apakah niat dan hajat mereka seolah-olah menunjukkan persediaan untuk berperang di khalayak ramai?
“Bukankah Majlis Raja-Raja Melayu baru-baru ini telah bertitah meminta kestabilan negara dipelihara tetapi perbuatan ini pula berniat sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial gambar beberapa orang lelaki membawa objek berbentuk senjata iaitu tombak dan perisai sambil berarak pada satu program anjuran sebuah parti politik di daerah Setiu.
Selain itu, sebilah pedang besar turut berada di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai bagi acara konvoi perarakan yang sama pada program tersebut.
Mengulas lanjut, Raja Kamarul Bahrin berkata, acara terbuka itu secara jelas menimbulkan intimidasi dan kerisauan orang ramai malah ia turut dihadiri pemimpin Pas di peringkat negeri dan pusat.
“Penglibatan pemimpin Pas sendiri menunjukkan seolah-olah mereka merestui tindakan itu.
“Justeru kami berharap pihak polis memandang serius isu ini demi ketenteraman dan keharmonian negara kerana tiada mana-mana pihak yang boleh berada di atas undang-undang.
“Sudah terlalu banyak contoh buruk kelihatan kebelakangan ini dan jika tidak segera dibendung, ini mungkin akan mengundang kecelakaan yang lebih buruk,” katanya. – UTUSAN