PH-BN ‘tak tidur sebilik’ tetapi ada ruang masing-masing - UMNO Kedah

PH-BN ‘tak tidur sebilik’ tetapi ada ruang masing-masing – UMNO Kedah

SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN dan MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Walaupun tidak tidur sebilik, namun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tetap memiliki ruang dan hak masing-masing yang saling dihormati antara satu sama lain dalam membentuk kerajaan Perpaduan bagi mengemudi negara ini.  

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, keadaan itu jauh berbeza dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sanggup berselingkuh dan tidur sebilik walaupun belum ‘bernikah’.

Katanya, kedua-dua parti yang membentuk Perikatan Nasional (PN) itu masih bersikap selamba walaupun masing-masing bertindak curang dan bermuka-muka.

“Saya terpanggil untuk menjawab tohmahan negatif Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kononnya BN dan PH masih belum dapat tidur sebilik. Untuk makluman beliau, BN dan PH berada dalam keadaan terpaksa berkongsi rumah namun kami memiliki bilik, ruang dan hak masing-masing yang saling dihormati.

“Kami tidak seperti Pas dan Bersatu yang sanggup berselingkuh tidur sebilik walaupun belum bernikah. Sudahlah tak setia, Pas dan Bersatu selamba bersikap curang, bermuka-muka dan tanpa rasa bersalah, menikam saudara sendiri dari belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Muhammad Sanusi berkata, impian PN untuk merampas Negeri Sembilan dan Selangor selain ‘menggegarkan’ Pulau Pinang bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan PH dan BN juga kini dilihat masih belum dapat ‘tidur sebilik’.

Tambah Shaiful Hazizy, Muhammad Sanusi tidak perlu bimbang mengenai hubungan PH dan BN kerana kedua-dua parti itu tahu batasnya dan sentiasa fokus untuk membangunkan Malaysia Madani demi masa depan negara tercinta.

“Saranan saya buat Muhammad Sanusi, belajarlah kawal diri supaya beradab dalam kancah politik. Sekurang-kurangnya belajar dari bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang mulia adab, tidak gelojoh serta bijak berdepan lawan dan kawan agar dihormati.

“Muhammad Sanusi fokus kepada tanggungjawab sebagai pemimpin negeri dan jangan cuai lagi hingga berjuta ringgit unsur nadir bumi (REE) hilang di depan mata Menteri Besar,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya