PADANG BESAR: Keindahan dan kedamaian di Balbuk Haus yang dikelilingi sawah padi dan berlatar belakang Bukit Chuping di sini, menjadi lokasi penganjuran pesta kesenian yang menampilkan anak-anak seni negeri ini.
Menariknya, pesta berkenaan yang berlangsung kelmarin diadakan di tengah bendang dengan pengunjung bukan sahaja dapat menikmati persembahan kesenian sebaliknya turut merasai kedamaian serta ketenangan di kawasan perkampungan Balik Bukit itu dalam suasana santai.
Selain persembahan nyanyian, pengunjung yang datang dari seluruh negara itu turut disajikan dengan deklamasi sajak, puisi, persembahan Awang Batil, pameran foto tran/saksi dan pelbagai lagi aktiviti kesenian lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Balbuk Haus, Ahmad Soffi Abdul Manah berkata, penganjuran tersebut mendapat sambutan memberangsangkan dari peminat seni yang datang dari seluruh negara.
Katanya, kerjasama antara Balbuk Haus bersama Rumah Bahang, Rumah Reka dan Salvo Kafe itu berjaya merealisasikan penganjuran pesta kesenian tersebut.
“Suasana di sini (Balbuk Haus) sememangnya menjadi lokasi sesuai menjalankan pelbagai aktiviti kesenian berkenaan. Konsep persembahan di tengah bendang ini juga pertama kali diketengahkan.
“Jika di Sarawak ada Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia, di sini (penganjuran festival kesenian ini) kita cuba mengangkat dan memberi platform kepada anak-anak seni selain terus mempertahan kesenian negeri seperti Awang Batil dan pelbagai lagi kesenian dan budaya negeri ini,” katanya.
Menurut Ahmad Soffi, konsep persembahan kesenian di tengah bendang itu pertama kali diadakan di negeri ini dan mendapat permintaan dari pengkarya-pengkarya agar meneruskan aktiviti seperti ini.
Katanya, di Perlis, terdapat ramai anak muda yang mempunyai bakat besar dan memerlukan platform untuk mengenengahkan bakat seni mereka. – UTUSAN