PADANG BESAR: Keindahan dan kedamaian di Balbuk Haus yang dikelilingi sawah padi dan berlatar belakang Bukit Chuping di sini menjadi lokasi penganjuran pesta kesenian yang menampilkan anak-anak seni negeri ini.
Menariknya, pesta berkenaan yang berlangsung semalam diadakan di tengah bendang dengan pengunjung bukan sahaja dapat menikmati persembahan kesenian sebaliknya turut merasai kedamaian serta ketenangan di kawasan perkampungan Balik Bukit itu dalam suasana santai.
Selain persembahan nyanyian, pengunjung yang datang dari seluruh negara itu turut disajikan dengan deklamasi sajak, puisi, persembahan Awang Batil, pameran foto tran/saksi dan pelbagai lagi aktiviti kesenian lain.
Mereka yang membuat persembahan terdiri daripada kumpulan Moi Last Von, Nadarasa serta pengkarya-pengkarya seni lain seperti Farhan Rajuli, Petak Daud, Budi dan Daya, Ali Adenan, Balbuk Kush dan Dee Alhadi.
Pemilik Balbuk Haus, Ahmad Soffi Abdul Manah berkata, penganjuran tersebut mendapat sambutan memberangsangkan dari peminat seni yang datang dari seluruh negara.
Katanya, kerjasama antara Balbuk Haus bersama Rumah Bahang, Rumah Reka dan Salvo Kafe itu berjaya merealisasikan penganjuran pesta kesenian tersebut.
“Suasana di sini (Balbuk Haus) sememangnya menjadi lokasi sesuai menjalankan pelbagai aktiviti kesenian berkenaan. Konsep persembahan di tengah bendang ini juga pertama kali diketengahkan.
“Jika di Sarawak ada Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia atau Rainforest World Music Festival), di sini (penganjuran festival kesenian ini) juga kita cuba mengangkat dan memberi platform kepada anak-anak seni negeri ini selain terus mempertahankan kesenian negeri seperti Awang Batil dan pelbagai lagi kesenian dan budaya negeri ini,” katanya.
Tambah Ahmad Soffi, konsep persembahan kesenian di tengah bendang itu juga pertama kali diadakan di negeri ini dan mereka juga mendapat permintaan dari pengkarya-pengkarya agar meneruskan aktiviti seperti ini.
Katanya, di Perlis, terdapat ramai anak muda yang mempunyai bakat besar dan memerlukan platform untuk mengenengahkan bakat seni mereka.
“Selain itu, Perlis juga mempunyai ramai tokoh kesenian dan budaya yang harus dipertahankan. Aktiviti kesenian seperti ini secara tidak langsung boleh menjadi platform untuk persembahan-persembahan kesenian ini.
“Insya-Allah usaha seperti ini akan diteruskan selain pihak-pihak bertanggungjawab juga boleh sama-sama membantu dalam mengangkat anak-anak seni melalui platform aktiviti atau pesta kesenian seperti ini,” katanya.-UTUSAN