PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi suspek lelaki yang merupakan perunding bebas kerana disyaki menerima upah daripada seorang wanita bergelar DatUK Seri bagi melakukan kerja-kerja membabitkan kegiatan pengubahan wang haram.
Menurut sumber, suspek berusia 70-an itu dipercayai menerima habuan dianggarkan lebih RM700,000 sekitar tahun 2016 hingga 2017 sebagai balasan bagi melakukan kegiatan itu dengan membawa wang tunai yang disyaki hasil penipuan pelaburan.
Suspek juga disyaki bersubahat dengan wanita bergelar Datuk Seri itu berhubung kegagalan mengisyhtiharkan sumber wang pelaburan tersebut bagi tujuan menipu syarikat milik individu yang berprofil tinggi.
Susulan itu, suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 14 Februari depan setelah Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman yang dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan suspek pada pukul 4 petang semalam ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN