PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetahui selewat-lewatnya akhir bulan depan sama ada beliau dibenar menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli menangguhkan keputusan permohonan Najib selepas mendengar penghujahan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Ad Hoc, Datuk V. Sithambaram.
Hakim Abdul Rahman berkata, panel itu tidak berada dalam kedudukan untuk mengumumkan keputusan hari ini dan akan memaklumkan pihak-pihak berkenaan selewat-lewatnya pada 31 Mac ini.
Beliau turut bersidang bersama tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.
Prosiding berlangsung selama enam hari bermula 19 Januari lalu.
Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah, Mahkamah Persekutuan diminta memperbetulkan kekhilafan panel terdahulu yang menyebabkan Najib menjadi mangsa salah laksana keadilan sehingga haknya dinafikan untuk mendapat pendengaran rayuan yang adil.

Hujah beliau, Najib tidak menyedari kesan akibat ketidakadilan tersebut apabila haknya dinafikan yang membawa kepada penghakiman yang tidak sempurna dicapai oleh panel terdahulu.
Beliau selanjutnya berhujah, panel terdahulu gagal mempertimbang situasi bahawa mahkamah tidak boleh menolak jika peguam berhasrat menarik diri daripada mewakili anak guam.
Pada prosiding sebelum ini, Muhammad Shafee membangkitkan isu bahawa rayuan di hadapan panel terdahulu dijalankan dalam keadaan Najib diwakili secara paksa sehingga menyebabkan bekas Perdana Menteri tidak mendapat pendengaran yang adil.
Muhammad Shafee berhujah, bekas Perdana Menteri ketika itu gagal mendapat penangguhan selepas panel bersidang enggan membenarkan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada mewakilinya.
Hujah peguam kanan itu, meskipun Hisyam kekal dalam pasukan pembelaan, Najib sebenarnya tidak diwakili peguam kerana kehadiran Hisyam hanya sebagai `hiasan’ dalam prosiding tersebut.
Menurut Muhammad Shafee, penghakiman panel terdahulu dibuat berdasarkan hujahan pihak pendakwaan tanpa mengambil kira 94 alasan rayuan pihak perayu (Najib).
Oleh yang demikian, pasukan pembelaan berpendirian, keputusan panel berkenaan dibuat berdasarkan penghujahan sebelah pihak kerana korum berkenaan sebenarnya tidak mendengar penghujahan perayu.
Hujah Muhammad Shafee, keadaan itu disifatkan sebagai ketidakadilan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Muhammad Shafee turut menghujahkan, suami Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Zamani Ibrahim menyatakan kebencian secara terbuka terhadap Najib melalui hantaran Facebook, empat tahun lalu.
Melalui hantaran di laman sosial itu, Muhammad Shafee berkata Zamani membuat kenyataan yang tidak menyenangkan yang boleh dibaca oleh orang awam.
“Beliau (Zamani) membuat kesimpulan bahawa Najib bersalah walaupun kes 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd. belum didengar di mahkamah.
“Ketua Hakim Negara sepatutnya mendedahkan hantaran itu ketika mempengerusikan panel lima hakim ketika rayuan akhir.
“Hantaran berkenaan tidak (dibuat) secara berselindung. Tetapi dalam kes ini, tiada pendedahan dibuat oleh Ketua Hakim Negara. Jadi wujud persepsi awam sama ada perbicaraan adil atau sebaliknya,” katanya.
Muhammad Shafee berkata, hubungan paling rapat sesama manusia ialah hubungan antara pasangan, di mana pandangan suami boleh mempengaruhi isteri apabila mereka bertukar pendapat.
Katanya, walaupun bukan seorang ahli politik, Zamani berpolitik (melalui hantaran di Facebook).
Dalam hujahan sebelum ini, Sithambaram menegaskan bahawa hantaran itu tidak menunjukkan Zamani mempunyai permusuhan peribadi terhadap Najib kerana ia adalah komen umum ‘rakyat’.
Katanya, permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri ketika rayuan akhir tahun lalu berikutan dakwaan konflik kepentingan adalah percubaan terdesak di saat akhir untuk mengganggu prosiding rayuan.
Najib memohon kebenaran menyemak dan membatalkan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos 2022 agar rayuannya didengar semula.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon rayuan berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim atau kuorum yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Beliau yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, turut memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan berkenaan.
Ini adalah usaha terakhir Najib, 69, melalui prosiding mahkamah untuk mengetepikan keputusan sabitan yang diputuskan terhadapnya, tahun lalu.
Najib juga telah memfailkan petisyen memohon pengampunan diraja atas sabitan beliau dalam kes SRC International.
Selain itu, Najib juga melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD).
Petisyen itu difailkan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva melalui penghujahan digital dan beliau memohon pembebasan atau perbicaraan semula berikutan pendengaran rayuan Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa. – UTUSAN