PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa pihak berkuasa menyiasat kenyataan Timbalan Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy yang didakwa bersifat hasutan hingga menimbulkan perpecahan antara kaum.
Itu ekoran kenyataan Ramasamy yang menggesa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.
Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perai itu dianggap melampau apabila mempersoalkan hak keistimewaan kaum Melayu.
Malah, katanya, dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia, terdapat keistimewaan atau kuota bagi orang Melayu dan Bumiputera untuk memasuki perkhidmatan awam.
“Kenyataan mempersoalkan hak-hak ini boleh menghasut atau membuatkan kaum lain membenci antara satu sama lain.
“Dakwaan kononnya lambat dan susah nak naik pangkat. Jadi kita gesa polis siasat perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Syed Hassan turut menggesa Ramasamy memantau syarikat-syarikat besar atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dimonopoli kaum lain.
“Perkara ini yang perlu dipantau. Bagaimanapun hal ini kita akan buat sidang akhbar lain,” katanya.
Terdahulu, Ramasamy mendakwa beberapa penerbitan memutar belit hantaran Facebook peribadinya yang meminta pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam negara.
Beliau dilaporkan berkata, cadangannya yang meminta untuk melakukan pembaharuan adalah atas dasar semangat membawa perubahan yang bermakna kepada amalan tadbir urus.
“Perkara yang menggesa perubahan kepada amalan tadbir urus, tidak sama dengan ‘memecahkan monopoli orang Melayu’.
“Tetapi malangnya, ahli politik beberapa parti komponen Pakatan Harapan (PH) cuba mentafsir semula berita terpakai di media untuk memberikan sifat perkauman kepada hujah saya berkenaan reformasi dalam perkhidmatan awam.
“Inilah yang berlaku apabila kebenaran diputar-belitkan dengan konteks kutukan perkauman dan ekstremisme agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramasamy baru-baru ini dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Anwar, digesa melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.
Katanya, perdebatan bahawa penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam, bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.
Ramasamy berkata, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg dan jurucakap G25 Noor Faridah Mohd Ariffin sebelum ini juga mencadangkan pembaharuan dalam perkhidmatan awam sebelum ini.
“Menggesa supaya tindakan terhadap saya tidak akan menyembunyikan masalah sebenarnya yang wujud berkenaan perkara ini.
“Dalam kes ini, kebenaran mengenai perkhidmatan awam kelihatan tidak menyenangkan bagi mereka yang ingin mengukuhkan status quo sedia ada dalam perkhidmatan awam,” katanya. – UTUSAN