Perhimpunan #ManaKapalLCS: Amir Hariri fail permohonan batal pertuduhan - Utusan Malaysia

Perhimpunan #ManaKapalLCS: Amir Hariri fail permohonan batal pertuduhan

AMIR Hariri Abd Hadi (empat dari kiri) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berhubung kes perhimpunan isu projek kapal tempur pesisir (LCS). - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abd Hadi memfailkan permohonan di Mahkamah Majistret di sini untuk membatalkan pertuduhan berkaitan perhimpunan melibatkan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Amir Hariri, 32, memaklumkan demikian kepada wakil media bahawa permohonan itu difailkan semalam dan diserahkan kepada pihak pendakwaan hari ini.

Sehubungan itu jelasnya, permohonan akan didengar di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin pada 27 Mac ini.

“Notis permohonan diserahkan kepada pendakwaan dalam prosiding pagi ini dan mahkamah menetapkan 20 Mac depan untuk memfailkan hujahan bertulis,” jelasnya selepas sesi pengurusan kes.

Ketika sidang media yang diadakan di pekarangan mahkamah, Amir Hariri meminta kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan memaklumkan perkembangan terhadap siasatan projek LCS.

Beliau menggesa agar pihak yang terbabit didakwa di mahkamah dan dihukum.

“Pemimpin Pakatan Harapan (PH) antara yang lantang ketika himpunan itu, malah sebahagiannya sudah menjadi menteri, mungkin mereka lebih tahu,” katanya.

Pada Ogos 2022, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) tidak menggunakan sepenuhnya bayaran yang diterima daripada kerajaan untuk projek tersebut.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata kontrak projek LCS diberikan secara rundingan terus kepada BNS dan kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek berkenaan.

Bagaimanapun, tiada satu pun kapal LCS yang disiapkan berbanding lima kapal yang perlu diserahkan setakat Ogos.

Pada 26 Ogos 2022, tertuduh selaku penganjur perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)?’ didakwa gagal memberitahu pihak polis yang menjaga daerah Dang Wangi, di sini, lima hari sebelum mengadakan perhimpunan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pukul 2 petang pada 14 Ogos lalu 2022.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pada 14 Ogos 2022 media melaporkan, satu perhimpunan dikenali sebagai #ManaKapalLCS diadakan di luar kompleks beli-belah Sogo dan disertai kira-kira 200 peserta.

Difahamkan perhimpunan terbabit anjuran kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Jawantankuasa Protes Mana Kapal LCS’ itu dilaksanakan bagi menggesa kerajaan menyelesaikan segera siasatan berhubung skandal kapal tempur pesisir pantai.

Tiga hari kemudian, polis menyoal Amir Hariri dan 12 individu lain yang menyampaikan ucapan semasa perhimpunan itu berlangsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya