Percutian ke Genting Highlands yang terakhir buat ibu, ibu saudara - Utusan Malaysia

Percutian ke Genting Highlands yang terakhir buat ibu, ibu saudara

WONG Yunn Wen (kiri) bersama adiknya, Wong Chia Hao (tengah) dan ibu saudara mereka, Nancy Wong masih sedih dengan pemergian Ang Meng Hong dan Lee Moy iaitu dua daripada tujuh mangsa yang terbunuh dalam nahas van ketika menuruni Genting Highlands, Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM :”Ayah saya malam tadi langsung tak boleh tidur. Pagi ini baru dia tidur. Keadaan dia tak okay. Dia terlalu sedih dengan pemergian ibu.”

Itu kata anak sulung kepada salah seorang mangsa tragedi van terbabas ketika menuruni Genting Highlands, Rabu lalu iaitu Ang Meng Hong, 62, ketika ditemui di rumahnya di Perkampungan Machang Bubok, di sini hari ini.

Wong Yunn Wen, 42, berkata, dia mendapat tahu mengenai nahas yang menimpa ibunya serta 14 yang lain termasuk ibu saudaranya, Lee Moy, 67, melalui adik lelakinya, Wong Chia Hao, 41.

“Sebenarnya, saya tinggal di Switzerland kerana bekerja di sebuah restoran di sana sejak empat bulan lalu.

“Walaupun jauh, saya memang selalu ‘Whatsapp’ dengan ibu. Kali terakhir, dia (ibu) beritahu saya dia sudah ‘check-out’ (mendaftar keluar dari hotel di Genting Highlands) dan dalam perjalanan pulang (ke Pulau Pinang),” katanya yang tiba di Malaysia awal pagi tadi.

Selain Meng Hong dan Moy, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 1.15 petang itu turut meragut lima lagi nyawa termasuk pemandu dan kelindan selain mencederakan lapan penumpang lain.

Mengulas lanjut, Yunn Wen berkata, ibu dan ibu saudaranya memang suka bercuti, namun dia tidak menyangka percutian tersebut merupakan percutian terakhir bagi mereka.

“Mayat ibu sampai (ke rumah) dalam pukul 5 pagi tadi. Keadaan dia (akibat kemalangan) teruk juga. Doktor cakap kena jantung (ketika nahas). Itu sebab kematian dia,” kata wanita itu lagi.

Jelas Yunn Wen, mayat mendiang ibunya dijangka disemadikan menerusi satu upacara pembakaran mayat di Berapit dekat sini, Ahad ini manakala ibu saudaranya pula akan dikebumikan di Kulim, Kedah.

Dalam pada itu, Lim Nyok Sin, 55, yang juga anak kepada seorang lagi mangsa tragedi itu iaitu Wong Ah Mooi @Wong Seh Mooi, 83, memberitahu, dia sangat sedih dan terkesan dengan pemergian ibunya itu.

“Dia tidak pesan apa-apa kepada saya ketika mahu ke sana (Genting Highlands). Tapi, ketika itu dia kelihatan sangat gembira,” ujarnya.

Tambah Nyok Sin, mayat mendiang ibunya pula dijangka dikebumikan Ahad ini di Tanah Perkuburan Kristian Sungai Lembu, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya