Perarakan melibatkan replika senjata tidak wajar dipolitikkan  - Utusan Malaysia

Perarakan melibatkan replika senjata tidak wajar dipolitikkan 

REPLIKA sebilah pedang yang  dibawa menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda pada perarakan sempena program Himpit 2023 di Setiu, Jumaat lalu. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS :  Isu perarakan yang melibatkan replika senjata pada program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di Setiu,  Jumaat lalu tidak wajar dipolitikkan.

Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu, Hanafiah Mat Hanafiah Mat berkata, peserta perarakan tersebut mengenakan pakaian dan replika objek berbentuk senjata untuk pertandingan sahaja.

Malah, menurutnya, perarakan tersebut juga bukan program baharu kerana telah dianjurkan Pas sejak 10 tahun lalu dan tidak pernah menjadi sebarang isu selama ini.

“Ia hanya pertandingan yang bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam. Peserta pun bukan bawa senjata tajam kerana semuanya adalah replika sahaja.

“Tidak seperti mana yang pernah berlaku (perarakan) di Kuala Lumpur dan Johor sebelum ini, ada yang bawa senjata sebenar.

“Bagaimanapun, kali ini ada tangan-tangan ghaib dan ganas yang tularkan perarakan pertandingan itu seolah-olah ada satu gerakan untuk menjatuhkan kerajaan sedangkan ia tidak benar sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Terengganu Hijab Day di Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, Kuala Nerus di sini, hari ini.

Baru-baru ini, tular di media sosial gambar beberapa orang lelaki membawa objek berbentuk senjata iaitu tombak dan perisai sambil berarak pada satu program anjuran sebuah parti politik di daerah Setiu.

Selain itu, sebilah pedang besar turut berada di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai bagi acara konvoi perarakan yang sama pada program tersebut.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata, Pas juga tidak pernah melakukan apa-apa rusuhan sepanjang kewujudannya dalam arena politik negara selama ini.

“Jangan takut kepada parti kita kerana kita perjuangkan Islam hampir 60 tahun,” ujarnya.

Pada masa sama, katanya, pemimpin Pas di Terengganu juga sedia memberi kerjasama kepada polis untuk membantu siasatan berhubung perarakan tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya