IPOH: Biarpun lawannya, Kedah Darul Aman (KDA) FC hadir dengan reputasi tinggi tetapi Perak FC sedikitpun tidak gentar pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak di sini malam ini.
Sebaliknya, Ketua Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim yakin anak buahnya sudah bersedia untuk bertemu lawan mereka.
Walaupun sedar mempunyai barisan ubi muda tetapi Teong Kim berkata, ia bukan faktor penentu .
“Pemain saya sudah bersedia untuk turun ke gelanggang malam ini. Saya yakin mereka tidak akan menghampakan penyokong.
“Justeru saya berharap penyokong akan hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada kami. Pemain benar-benar memerlukan sokongan padu penyokong.
“Jangan hampakan mereka,” katanya mengulas pertemuan sulung Liga Super pasukan Perak FC malam ini.
Jurulatih itu berkata, segala usaha sudah dilakukan untuk mempersiapkan pasukan.
“Saya akui pasukan saya kerdil tetapi anak buah saya mempunyai semangat tinggi,” katanya. – UTUSAN