PADANG BESAR: Katamaran atau perahu layar lazimnya digunakan bagi aktiviti sukan air itu di laut memandangkan ia memerlukan tiupan angin kuat untuk berlayar.
Namun apa yang menarik, dua sahabat baik, Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal Wafa, 34, dan Siti Nursarah Salehhodin, 35, mengambil inisiatif menawarkan aktiviti tersebut di Tasik Timah Tasoh di sini sekali gus menjadi satu-satunya lokasi di Malaysia menawarkan aktiviti berkenaan di tasik.
Inisiatif julung kali dilaksanakan oleh Hermission House Extreme Sports Club itu dapat dilaksanakan di tasik berkenaan memandangkan kawasan tersebut mempunyai tiupan angin yang bersesuaian untuk menggerakkan katamaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sharifah Nadiah berkata, dia bersama Siti Nursarah mengambil inisiatif menawarkan aktiviti menaiki katamaran buat pengunjung bermula Februari tahun lalu.
“Pada waktu itu, ada orang menawarkan untuk menjual katamaran kepada kami dan dari situlah timbulnya idea untuk menjalankan perkhidmatan ini di Tasik Timah Tasoh.
“Dan secara kebetulan, ayah kepada Nursarah juga sememangnya mempunyai pengalaman luas dalam sukan pelayaran dan dia banyak memberi idea kepada kami untuk menjalankan perkhidmatan tersebut,” katanya.
Sharifah Nadiah berkata, sebelum memulakan aktiviti berkenaan, krew dan pihak terlibat akan memberi taklimat keselamatan terlebih dahulu kepada pengunjung yang ingin mencuba sukan itu.
Katanya, mereka juga turut menempatkan krew bersama pengunjung yang pertama kali mencuba perkhidmatan berkenaan bagi membimbing mereka untuk mengemudi katamaran berkenaan.
“Katamaran ini akan bergerak mengikut kelajuan angin dan disebabkan itu aspek keselamatan amat dititikberatkan oleh pihak kami bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya. – UTUSAN