Penjawat awam paling ramai rasuah di Selangor - Utusan Malaysia

Penjawat awam paling ramai rasuah di Selangor

Rasuah Selangor
ALIAS SALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kumpulan penjawat awam didakwa paling ramai terjebak dengan jenayah berkaitan rasuah di Selangor apabila 55 peratus daripada mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh lima tahun sejak 2018.

Sehingga 2022, SPRM melaporkan sebanyak 314 individu keseluruhan ditahan yang turut melibatkan 84 kakitangan swasta dan 50 orang awam.

Turut terbabit dalam laporan penahanan tersebut adalah kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ahli politik seramai 10 orang. Tangkapan tersebut dibuat selepas  269 kertas siasatan dibuka dan 135 sudah dituduh di mahkamah.

Menurut Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, berdasarkan tangkapan tersebut SPRM negeri itu turut mencatatkan sitaan berjumlah RM366,845.00 selain melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM1.77 juta.

“Dalam tempoh yang sama juga, berdasarkan 314 tangkapan yang dibuat sebelum ini menunjukkan, tahun 2022 merekodkan tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 72 tangkapan, diikuti oleh tahun 2018 (66) dan tahun 2021 (63).

“Selain itu, pihaknya turut menerima 1,764 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Pada tahun 2018, sebanyak 378 maklumat diterima, diikuti oleh tahun 2019 (344) dan tahun lalu (331),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, tahun 2020 menunjukkan pembukaan kertas siasatan tertinggi sepanjang tempoh tersebut iaitu sebanyak 64 kertas siasatan dan diikuti oleh tahun 2019 (57) dan tahun 2022 (50).

Dalam pada itu, Alias bagaimanapun menyatakan selain siasatan kes rasuah, SPRM Selangor juga melaksanakan tindakan pencegahan dengan melaksanakan pemeriksaan ke atas amalan, sistem dan prosedur sektor awam dan swasta bagi mengenalpasti kelemahan yang boleh membuka ruang kepada jenayah tersebut. 

“Sepanjang tahun 2018 hingga 2022, sebanyak 406 ceramah khusus buat kumpulan sasar dengan 721 program berteraskan pencegahan rasuah disampaikan kepada agensi kerajaan dan swasta, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN