Peniaga nasi campur ikut cara Mydin sediakan Menu Rahmah

Peniaga nasi campur ikut cara Mydin sediakan Menu Rahmah

SITI Noerjanah menyediakan hidangan Menu Rahmah berharga RM5 yang ditawarkan di Warung Jannah, Rasah, Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menyedari kenaikan harga barangan yang turut memberi kesan kepada kehadiran pelanggan gerai makannya, seorang peniaga mahu dikenali sebagai Siti Noerjanah, 46, menjadikan situasi itu untuk membantu dan pada masa sama bersedekah menerusi makanan jualannya.

Pemilik Warung Jannah itu yang menyajikan pelbagai juadah nasi campur di Rasah di sini berkata, Program Menu Rahmah yang merupakan inisiatif baharu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup tiba pada waktu yang tepat dan memberikannya idea untuk menyediakan hidangan dengan harga lebih rendah terutama kepada pelanggan yang kurang berkemampuan.

“Kebetulan saya ada terbaca mengenai Program Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makan tengah hari dengan harga RM5 yang ditawarkan di Pasar Raya Mydin.

“Selepas itu, saya membawa pembantu saya ke pasar raya tersebut untuk melihat sendiri apa menu yang boleh disediakan dengan harga berkenaan selain cara penyediaannya.

“Saya perhatikan, ia juga boleh ditawarkan di gerai makan saya, jadi saya menyediakan hidangan berharga RM5 iaitu sepinggan nasi bersama lauk ikan masak lemak cili api dan air sirap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di gerainya semalam.

Menurutnya, setiap hari dia akan menukar menu termasuk air minuman bagi menampilkan kelainan kepada hidangan Menu Rahmah yang disediakan untuk pelanggannya.

“Jika diikutkan harga RM5 untuk hidangan makanan dan air itu memang tidak munasabah untuk disediakan apatah lagi dengan kenaikan harga barangan ketika ini, tetapi saya turut berniat ia juga adalah untuk tujuan bersedekah.

“Sebagai permulaan saya menyediakan 20 set hidangan Menu Rahmah untuk makan tengah hari. Sekiranya mendapat sambutan saya akan menambahnya nanti,” katanya yang sudah berniaga sejak lima tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya