Peniaga minta MBKT selesai masalah perparitan medan selera Batu Buruk - Utusan Malaysia

Peniaga minta MBKT selesai masalah perparitan medan selera Batu Buruk

SEORANG peniaga menunjukkan keadaan longkang yang tersumbat di medan selera Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Peniaga medan selera Batu Buruk di sini menggesa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyelesaikan masalah perparitan dan penyelenggaraan kemudahan awam di kawasan itu sehingga menimbulkan keadaan tidak selesa.

Beberapa peniaga yang ditemui mendakwa masalah tersebut yang berlaku sejak 2017 memberi imej buruk terhadap aspek kebersihan dan keceriaan terutama dalam kalangan pelancong.

Ros Idayu Mohamad Deris, 41, berkata, longkang tersumbat menimbulkan bau busuk dan keadaan menjadi lebih buruk sekiranya berlaku hujan lebat.

“Air akan bertakung dan menyukarkan pergerakan saya di dapur. Bahaya kerana lantai jadi licin apabila minyak yang tersumbat dalam longkang akan bercampur dengan air hujan.

“Masalah ini telah lama kami laporkan kepada pihak bertanggungjawab namun masih tiada apa-apa tindakan diambil,” katanya ketika ditemui di Batu Buruk di sini semalam.

Pada masa ini, seramai 13 peniaga beroperasi di medan selera tersebut.

Seorang lagi peniaga, Indon Mat Zin, 62, berkata, air yang bertakung menyebabkannya tidak selesa memasak di dapur namun tiada pilihan selain membersihkan longkang setiap hari.

“Air bertakung itu menyebabkan ramai peniaga ada masalah kegatalan kulit di bahagian kaki.

“Risau kalau berlarutan dalam tempoh yang lama, sampai bila kami hendak bersabar sedangkan tempat ini sepatutnya cantik, bersih dan selesa kerana jadi tum­pu­an pelancong,” katanya yang sudah 15 tahun berniaga di situ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya