KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dikenakan tiga sebatan setelah didapati bersalah meliwat anak tiri perempuannya, empat tahun lalu.
Keputusan itu dibacakan Hakim Nooriah Osman di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tertuduh yang berumur 37 tahun sebaik pertuduhan dibacakan ke atasnya, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dengan sengaja dan tanpa kerelaan mangsa yang ketika itu berusia lapan tahun.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan oleh tertuduh ke atas mangsa di sebuah rumah di daerah ini antara pukul 12 tengah hari sehingga 6 petang pada Disember 2019.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara lima sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa. – UTUSAN