Peniaga Kuantan gagal batal arahan tulisan Jawi pada papan tanda kedai - Utusan Malaysia

Peniaga Kuantan gagal batal arahan tulisan Jawi pada papan tanda kedai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua peniaga di Kuantan gagal membatalkan keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang mengarahkan tulisan Jawi dipaparkan pada papan tanda premis perniagaan di bandar tersebut.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Jehan Abdullah dan A. Dana Palan tanpa perintah kos kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Yaacob Md. Sam berpuas hati arahan Majlis Mesyuarat Exco negeri menguatkuasakan tulisan Jawi jenis
al-Taibah pada papan tanda premis perniagaan adalah munasabah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau yang bersidang bersama Datuk P. Ravinthran dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka.

Pada asalnya, permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh tiga peniaga namun rayuan hanya diteruskan oleh dua perayu kerana pemohon kedua, Phang Long Yen telah meninggal dunia.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Hakim Yaacob menyatakan, Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan (LGA) 1976 tidak bercanggah dengan Perkara 8 atau Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, mahkamah berpendapat Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika menolak permohonan semakan kehakiman ketiga-tiga pemohon.

“Berdasarkan penghujahan pihak-pihak dan selepas meneliti rekod rayuan, panel ini berpendapat tiada alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi,” jelas beliau.

Mahkamah turut berpendapat, dalam kes itu, permohonan semakan kehakiman merupakan mod tindakan undang-undang yang betul.

Jehan dan Dana Palan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang menolak semakan kehakiman mereka untuk mencabar keputusan Kerajaan Negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi pada premis perniagaan di daerah itu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz dalam penghakiman bertarikh 5 Ogos 2021 berpuas hati, polisi yang diputuskan oleh kerajaan negeri melalui Mesyuarat Exco tidak boleh diganggu kerana mahkamah hanya berperanan untuk mentafsir undang-undang yang digubal di Parlimen.

“Jika mahkamah dibenarkan mengganggu setiap polisi yang diputuskan oleh kerajaan negeri, maka sudah tentu ia akan bermaksud mahkamah boleh campur tangan dalam apa-apa polisi yang diputuskan.

“Ini bukan tugas mahkamah. Jika mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan apa-apa polisi yang diputuskan, mereka berhak menukar kerajaan tersebut melalui peti undi sewaktu pilihan raya,” jelas Hakim Zainal Azman.

Hakim Zainal Azman turut berpendapat, Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan menunjukkan tulisan Jawi boleh digunakan untuk mencerminkan makna Bahasa Kebangsaan.

Menurut hakim berkenaan, pekeliling keputusan Majlis Mesyuarat Exco negeri walaupun tidak diwartakan tidak menjadikan arahan itu terbatal atau tidak berkuatkuasa kerana memadai untuk dimaklumkan kepada orang awam.

Dalam prosiding hari ini, perayu-perayu diwakili oleh peguam T. Gunaseelan, pihak MPK oleh Ong Siew Wan manakala Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Saiful Edris Zainuddin mewakili Kerajaan Negeri Pahang.

Mereka mencabar keputusan Majlis Mesyuarat Exco negeri pada 1 Mac 2018 yang menguatkuasakan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda perniagaan di bandar Kuantan.

Mereka juga mahu menarik balik perintah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bertarikh 3 April 2019 yang menghendaki semua premis perniagaan di bawah bidang kuasanya menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda mereka.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa Seksyen 107 (2) bertentangan dengan klausa kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut laporan media, bermula 1 Januari 2020, Kerajaan Negeri Pahang menguatkuasakan pelaksanaan papan tanda tulisan Jawi di kesemua premis-premis perniagaan negeri itu.

Peruntukan itu menyebut bahawa semua lesen atau permit yang dikeluarkan adalah tertakluk kepada syarat dan larangan yang difikirkan sesuai oleh pihak berkuasa tempatan.

Lesen juga boleh ditarik balik pada bila-bila masa tanpa memberikan apa-apa alasan manakala mereka yang ingkar arahan itu boleh didenda sehingga RM250.

Pelaksanaan untuk memaparkan tulisan Jawi merupakan tindakan bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong pada 13 November 2018, agar tulisan warisan itu dipaparkan di setiap premis di negeri tersebut untuk dimartabatkan semula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya