Pengusaha lori mahu naik caj pengangkutan

Pengusaha lori mahu naik caj pengangkutan

MICHAEL Loo Leep Chye (kanan) pada sidang akhbar di Pejabat Persatuan Lori Tipper Kedah/Perlis di Pekan Baru di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia (MTLOA) bercadang menaikkan kadar caj pengangkutan sekiranya rayuan mereka menaikkan Berat Dengan Muatan (BDM) yang digunakan sejak puluhan tahun lalu gagal dipersetujui kerajaan.

Pengerusinya, Datuk Michael Loo Leep Chye berkata, pihaknya akan rugi jika Jabatan Kerja Raya (JKR) tetap dengan keputusan menggunakan BDM sedia ada iaitu muatan tidak boleh melebihi 35 peratus BDM tanpa mengambil kira teknologi kenderaan yang semakin besar dan canggih.

“Caj antara 0.25 sen hingga 0.30 sen per tan bagi setiap kilometer masih pada tahap lama dan ia merugikan kami pemilik kenderaan kerana tidak boleh membawa muatan banyak berikutan BDM tidak dibenarkan diperbaharui.

“Ini menyebabkan kami perlu menggunakan lebih banyak lori dengan muatan yang tidak setimpal ekoran masih diarah menggunakan BDM sedia ada,” katanya pada sidang akhbar di Pekan Baru di sini, hari ini.

Katanya, disebabkan terpaksa mengikut BDM lama, mereka sering kali disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kerana membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.

“Tidak masuk akal apabila guna lori besar tetapi membawa muatan sedikit dan sudah pasti kami akan kerugian setiap kali beroperasi, sedangkan kami perlu bawa muatan bersesuaian dengan kapasiti lori mengikut peredaran zaman yang semakin besar saiz muatannya,” katanya. 

Michael Loo berkata, kira-kira 2,000 ahli MTLOA kini terpaksa menanggung kos operasi antara 300 hingga 400 peratus jika kerajaan terus menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang had muatan berkenaan yang tidak boleh melebihi BDM sedia ada.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu itu tidak pernah menemui jalan penyelesaian walaupun pihaknya telah dua kali menghantar surat untuk berbincang bagi membolehkan had BDM dinaikkan bersesuaian dengan lori yang digunakan.

“Alasan JKR tidak benar kenaikan baharu BDM adalah tiada peruntukan kewangan yang cukup untuk baiki jalan yang rosak disebabkan lori-lori tipper yang membawa muatan lebih daripada BDM. Sepatutnya cari jalan agar perbincangan untuk menaikkan BDM ini mewujudkan situasi menang-menang dan tidak merugikan sepenuhnya pihak kami,” katanya.

Kata Michael Loo, mereka sendiri tidak mahu sesuka hati menaikkan kadar caj pengangkutan tersebut jika mampu mencapai kata sepakat kerana sekiranya caj terbabit terpaksa dinaikkan juga, golongan pengguna akhir iaitu masyarakat yang akan terkesan dengan kenaikkan harga.

“Kami sendiri telah terkesan selama ini kerana perlu tanggung kos operasi yang tinggi termasuk menampung kos penyelenggaraan lori dan gaji pekerja. Kami sedia berjumpa dengan menteri terlibat termasuk Perdana Menteri untuk terus bincang jalan terbaik mengatasinya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya