Pengusaha kerepek pisang pastikan ‘harga mampu milik’ - Utusan Malaysia

Pengusaha kerepek pisang pastikan ‘harga mampu milik’

ZAINUR Ariffin menunjukkan kerepek pisang yang siap dibungkus untuk dipasarkan kepada pembeli di Zaff Food Industry di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Bagi memastikan pelanggan terus menikmati kerepek pisang pada harga mampu milik, pemilik Zaff Food Industry, Zainur Ariffin, 28, bersedia menawarkan harga sebungkus RM10 bagi 250 gram.

Menurutnya, walaupun ada beberapa bentuk pembungkusan termasuk menggunakan botol, dia tidak keberatan menawarkannya dengan harga yang berpatutan kepada pelanggannya.

Katanya, biasanya dia akan menjual kerepek pisang dengan harga RM36 sekilogram, selain dipasarkan ke dalam botol untuk dihantar ke Singapura atau ke beberapa negeri lain.

“Alhamdulillah, saya mempunyai pembekal tetap pisang tanduk dalam kalangan pekebun kecil di kampung yang sentiasa menghantar ke perusahaan ini pada setiap bulan dan minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi di sini.

Bagi persediaan menghadapi sambutan Aidilfitri, Zainur memerlukan lima tan pisang tanduk bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mula membuat tempahan seminggu selepas berpuasa.

“Selain pisang tanduk, saya turut membantu memasarkan kuih-muih tradisional yang dihasilkan penduduk tempatan menjelang musim perayaan nanti,” katanya.

Seorang lagi pembekal kerepek, Jalilah Dasuki, 56, turut mengakui pisang tanduk lebih mendapat permintaan daripada pelanggan berbanding pisang lain seperti berangan, nipah dan nangka.

Berikutan kenaikan bahan mentah seperti minyak serta bahan pembungkusan, dia tidak menolak kemungkinan akan menaikkan harga, iaitu bagi berat setengah kilogram dijual RM16 atau RM17.

“Pembekal juga menghadapi kekurangan bekalan, selain tanaman kurang menjadi disebabkan faktor cuaca dan ancaman binatang perosak seperti babi hutan dan monyet.

“Tidak kurang juga isu kecurian buah pisang tanduk terutamanya menjelang musim perayaan berikutan permintaan tinggi daripada pengusaha ataupun orang perseorangan,” katanya sambil memaklumkan harga ladang pisang tanduk boleh mencecah RM6 sekilogram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya