BUKIT MERTAJAM: Seorang pengurup wang warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan memalsukan dokumen untuk memperbaharui pasport.
Tertuduh, Kazi Monir, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memalsukan 10 dokumen dengan niat supaya dokumen palsu itu dapat digunakan bagi tujuan menipu.
Antara dokumen tersebut termasuk satu laporan polis Seberang Jaya; resit; invois cukai dan invois MyEG Services Berhad (MyEG) dan resit rasmi Jabatan Imigresen.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah premis di Lorong Usahaniaga 1, Taman Usahaniaga, dalam daerah Seberang Perai Tengah, di sini kira-kira pukul 7.30 malam, 8 Februari lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala tertuduh diwakili peguam, V. Pushpa.
Terdahulu, ketika prosiding berlangsung, Nor Shakila meminta mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana menyifatkan kesalahan memalsukan dokumen itu sebagai serius. – UTUSAN