KUALA LUMPUR: Bermula 2023, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak dua peratus melibatkan banjaran lebih RM35,000 hingga RM100,000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal ini kerana golongan M40 menunjukkan kesabaran mereka meski terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang mencengkam apabila selama ini golongan B40 sering diberikan pelbagai bentuk bantuan.
Justeru katanya, kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu yang memberi lebih manfaat kepada mereka.
“Pengurangan ini dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga dua peratus melibatkan banjaran lebih RM100,000 hingga RM1 juta.
“Namun, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi. Melalui pendekatan ini, langkah ini melibatkan pengurangan hasil cukai bersih Kerajaan sebanyak RM900,000 untuk manfaat rakyat khususnya M40,” katanya. – UTUSAN