Pengundi Putrajaya fail petisyen batal kemenangan Radzi Jidin - Utusan Malaysia

Pengundi Putrajaya fail petisyen batal kemenangan Radzi Jidin

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengundi memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin yang memenangi kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim mendakwa, Mohd. Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu memberi sogokan berjumlah RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan berkenaan.

Ahmad Faisal, 50, selaku pempetisyen memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 26 Januari lalu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan menamakan Mohd. Radzi, 46, selaku responden tunggal.

Menerusi petisyen itu, Ahmad Faisal antara lain memohon perintah mahkamah agar Mohd. Radzi, tidak wajar dipilih bagi Parlimen berkenaan pada PRU15, yang diadakan pada 19 November 2022.

“Tindakan ejen-ejen responden dalam memberikan sogokan dalam bentuk wang tunai telah memprejudiskan perjalanan pilihan raya dan suatu tindakan salah serta menggugat amalan prinsip demokrasi di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut petisyen yang difailkan, pemimpin UMNO itu mendakwa, sogokan RM150 diberi bagi pengundi berdaftar di Parlimen sama.

Katanya, butiran sogokan dinyatakan menerusi perbualan menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ bertarikh 21 November dan 21 Disember 2022 serta 4 Januari lalu.

“Pengundi telah menerima sogokan daripada seorang pekerja Perikatan Nasional (PN) dan mendorong pengundi memilih responden dalam PRU15 dan bukan calon lain,” katanya.

Pempetisyen ini menyatakan, rasuah yang dilakukan oleh responden dan ejen-ejennya menyebabkan kemenangan kepada calon PN itu, mengalahkan calon BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara itu, ketika prosiding permohonan pendengaran bantahan awal oleh Mohd. Radzi melalui peguamnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, beban pematuhan bagi peruntukan bawah Akta 5 dan Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 terletak sepenuhnya di atas bahu pempetisyen.

Katanya, kegagalan untuk mematuhi peruntukan itu akan menyebabkan petisyen pilihan raya cacat, defektif dan perlu dibatalkan.

“Kami memfailkan bantahan awal pada 12 Februari lalu kerana ketidakpatuhan untuk memenuhi Kaedah 4(1)(b) Kaedah-Kaedah Petisyen 1954, dibaca bersama Seksyen 32(a) Akta 5 kerana fakta yang disandari tidak berupaya menyokong relif yang dipohon,” katanya.

Beliau berkata, pempetisyen gagal untuk menyatakan butiran peribadi pengguna ‘WhatsApp’ iaitu tiada nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat termasuk maklumat ‘group’ aplikasi berkenaan.

Tidak dinyatakan juga katanya, bilangan penerima, jumlah wang yang terlibat dan gagal memplidkan butiran yang menunjukkan pembayaran oleh wakil ejen tersebut, dibuat atas arahan atau dalam pengetahuan responden.

Sementara itu, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata, bantahan awal yang difailkan oleh responden pada 12 Februari lalu, tidak mempunyai merit dan petisyen itu perlu didengar melalui perbicaraan penuh.

“Kami mengemukakan bahawa satu-satunya cara bagi seorang hakim pilihan raya untuk menentukan sama ada wujud individu yang memberikan wang bagi pihak responden atau sebaliknya adalah melalui perbicaraan petisyen,” katanya.

Selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faizah Jamaludin menetapkan 10 Mac ini untuk keputusan bantahan awal tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya