BUKIT MERTAJAM: Hampir 100 penghantar makanan sebuah syarikat berkumpul di hadapan pejabat pengurusan syarikat itu di Jalan Baru, sini hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap sistem atau peraturan baharu yang dianggap ‘membebankan’ mereka.
Antaranya berkaitan isu pembayaran untuk penghantaran yang didakwa dibuat tidak seperti yang dijanjikan selain zon pembesaran kawasan bekerja yang dianggap tidak selari dan boleh mengelirukan kumpulan penghantar makanan.
Wakil kumpulan penghantar makanan tersebut, Mohd. Zulhizri Zulkifli, 33, berkata, sebagai contoh, sistem pembayaran oleh syarikat itu kepada mereka ketika ini sering berubah-ubah tanpa sebarang pemberitahuan maklumat secara terperinci.
Lebih mengecewakan, katanya, sistem pengiraan jarak kilometer dari aplikasi syarikat itu juga tidak mengikut jarak sebenar seperti yang terdapat di aplikasi Google Maps selain jumlah pembayaran dari lokasi semasa ke lokasi pengambilan makanan yang sangat rendah.
“Isu ini sebenarnya telah bermula sejak tahun lepas, namun sehingga kini masih belum berjaya diselesaikan.
“Jadi, kami mohon mereka dapat menyemak sistem baharu ini dan membuat keputusan yang adil.
“Kami datang secara baik untuk berjumpa pihak pengurusan, berdemo secara aman dan tidak membuat sebarang rusuhan pun kerana rata-rata kami masih lagi ingin berkhidmat dengan mereka,” katanya kepada pemberita di sini.
Selain isu pembayaran dan zon pembesaran kawasan kerja yang dilaporkan tidak dimaklumkan atau diwartakan di aplikasi, isu lain yang turut dibantah dan dimuatkan dalam memorandum berkenaan termasuk sistem pemarkahan oleh syarikat itu yang dianggap semakin ketat.
Sebagai contoh, sekiranya penghantar makanan ingin kekal di ‘batch’ pertama, mereka terpaksa bekerja sehingga 12 jam sehari, enam hari seminggu selain wajib bekerja pada hari Sabtu dan Ahad.
Turut dipersoalkan ialah tindakan yang diambil oleh pihak syarikat terhadap penghantar makanan tanpa menyiasat terlebih dahulu sebarang aduan yang diterima.
Dalam pada itu, Mohd. Zulhizri berkata, pihaknya amat berharap pihak syarikat dapat mengkaji dan menyelesaikan isu terbabit dengan secepat mungkin.
“Jika dahulu, mungkin ada di antara kami yang dibayar antara RM6.50 ke RM7 bagi setiap penghantaran tetapi kini bayaran yang diterima hanya RM4 atau mungkin lebih rendah dan ini memang menjejaskan pendapatan kami.
“Setakat ini, kami tidak pernah gagal hantar makanan sama ada hujan atau panas. Kami tetap jalankan tanggungjawab,” katanya yang mengakui terpaksa bersaing dengan penghantar makanan baharu yang semakin bertambah berbanding jumlah tempahan makanan yang semakin berkurangan. – UTUSAN