Pengesahan Fitch Ratings cermin keyakinan terhadap kerajaan

Pengesahan Fitch Ratings cermin keyakinan terhadap kerajaan

OPR dijangka kekal 3.0 peratus walaupun Fed Amerika Syarikat menurunkan kadar faedah di negara itu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengalu-alukan pengesahan Fitch Rating ke atas penarafan kredit berdaulat negara pada BBB+ dengan tinjaun ‘Stabil’ bagi tahun 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengesahan itu mencerminkan keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan dan kekuatan pemulihan ekonomi Malaysia serta daya tahan negara di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu dan sangat mencabar.

Menurut Anwar, Fitch menjelaskan, penarafan Malaysia diimbangi oleh ekonomi pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh walaupun hutang negara adalah tinggi serta asas hasil yang rendah berbanding perbelanjaan mengurus.

“Fitch menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan menyederhana kepada 4.0 peratus pada 2023 dan 4.8 peratus pada 2024 berbanding pertumbuhan KDNK yang memberangsangkan sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022.

“Ia ekoran kelonggaran sekatan Covid-19 dan usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah pemulihan dan sokongan ke arah pertumbuhan ekonomi yang pesat dan meluas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Fitch juga menjangka sektor perkhidmatan akan terus dirangsang permintaan domestik yang berdaya tahan, inflasi terkawal dan pemulihan dalam sektor berkaitan pelancongan ekoran pembukaan semula China.

Jelas beliau, trend pertumbuhan jangka sederhana dijangka kekal teguh antara 4.0 – 5.0 peratus.

Sementara itu, Fitch berpandangan bahawa sektor pembuatan dan eksport berkemungkinan menghadapi halangan daripada permintaan global yang lemah bagi elektronik dan komoditi.

“Fitch berpendapat bahawa defisit fiskal akan berkurangan secara beransur kepada purata sekitar 4.5 peratus daripada KDNK pada 2023 – 2025, mengambil kira pelbagai faktor termasuk rasionalisasi perbelanjaan lebih baik dan langkah mobilisasi hasil berkesan.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan berazam memastikan kedudukan fiskal negara terus kukuh melalui penyatuan defisit fiskal secara beransur-ansur sambil mengimbangi keperluan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi semasa zaman mencabar ini di peringkat global,” katanya.

Melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini, Anwar berkata, kerajaan akan terus mempergiatkan usaha reformasi untuk memacu pemulihan ekonomi negara, meningkatkan pelaburan dan menambah baik infrastruktur awam.

Katanya, penekanan berterusan juga akan diberikan kepada inisiatif untuk mengawal tekanan inflasi dan meringankan beban rakyat daripada kos sara hidup yang tinggi.

Belanjawan 2023 juga akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kewangan dan tadbir urus negara, bagi menyokong komitmen kerajaan untuk mengekalkan momentum pemulihan ekonomi.

Ia ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan tema Belanjawan 2023 iaitu ‘Membangun Malaysia Madani’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya