Pengarah syarikat didakwa tipu pakej haji furada

Pengarah syarikat didakwa tipu pakej haji furada

NUR ZAIDANI AKMAL ABD. MAJID dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang bagi menghadapi pertuduhan menipu seorang wanita warga emas berhubung pakej haji furada. -  UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Seorang wanita yang juga pengarah sebuah syarikat agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita warga emas berhubung pakej haji furada berjumlah RM24,000, empat tahun lalu.

Nur Zaidani Akmal Abd. Majid, 39, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa menipu seorang wanita warga emas berusia 69 tahun sehingga mangsa menyerahkan RM24,000.

Tertuduh didakwa memperdaya mangsa untuk mengerjakan haji furada dengan menggunakan pakej haji yang ditawarkan Syarikat Hiddan Travel Sdn. Bhd. miliknya. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Gombak di sini antara 24 Jun dan 26 Jun 2019.

Wanita tersebut didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca mengikut Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Loh Xian Yee menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Khairul Amin Abdullah yang mewakili Nur Zaidani memohon ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan nilai terlalu tinggi.

“Saya dimaklumkan terdapat penyelesaian antara tertuduh dengan pengadu. Mohon dikurang jaminan yang ditawarkan kerana terlalu tinggi,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Chai Guan Hock kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 10 Mei ini ditetapkan bagi sebutan kes. Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan membabitkan kerugian lebih RM5.67 juta.

Laporan yang diterima membabitkan pelbagai syarikat pelancongan swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya