SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menyogok polis supaya tidak mengambil tindakan memiliki minyak subsidi tanpa lesen, minggu lalu.
Tertuduh, Keh Teck Chuan,53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam di hadapan Hakim Norazlin Othman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menawarkan RM50,000 dan memberi suapan RM50,500 kepada pegawai kanan polis berusia 39 tahun yang bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Kedua-dua pertuduhan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki minyak subsidi tanpa lesen yang dilakukan di sebuah gudang di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 11 malam dan 11.10 malam, 1 Februari lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama.
Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM50,000 bagi dua pertuduhan itu dan memohon penyerahan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan.
Peguam Regine Sin yang mewakili Teck Chuan memohon pengurangan kerana anak guamnya terpaksa menanggung kos rawatan ibunya berusia 88 tahun di hospital.
Mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan RM40,000 bersama penjamin dan melaporkan diri setiap minggu pertama di pejabat SPRM Selangor sebelum menetapkan sebutan semula kes pada 9 Mac depan. – UTUSAN