Penerbit sedia berbincang isu Terengganu larang tayangan filem Pulau - Utusan Malaysia

Penerbit sedia berbincang isu Terengganu larang tayangan filem Pulau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit filem, Fred Chong menyatakan kesediaan untuk berbincang agar kerajaan Terengganu menarik semula larangan tayangan filem Pulau di negeri tersebut.

Fred dalam satu sidang media secara maya berkata, dia sedia ke Terengganu untuk membuat rayuan kepada kerajaan negeri.

“Surat rayuan telah disiapkan, cuma kami masih menunggu surat sokongan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Keputusan kerajaan negeri mengharamkan filem tersebut menimbulkan kebimbangan dan dikhuatiri akan mempengaruhi negeri lain untuk membuat tindakan yang sama.

“Jadi, sebaik menerima keizinan kerajaan negeri, saya akan terbang ke Kuala Terengganu untuk membuat rayuan dan menayangkan filem ini kepada wakil mereka untuk dinilai,” katanya.

Fred memaklumkan, pihak TGV pada 9 Februari lalu telah menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman yang antara lain menyatakan tentang keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu melarang filem tersebut ditayangkan di negeri itu.

Justeru, kata Fred, dia berharap kerajaan negeri akan menpertimbangkan pelawaan menonton filem berkenaan untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak.

“Ramai pihak menjatuhkan hukum dan melayangkan kritikan hanya berdasarkan treler yang mereka tonton.

“Beri peluang kepada filem ini, setidak-tidaknya pertimbangkan usaha kru dan pelakon yang bertungkus lumus belajar cara menyelam dan terpaksa tinggal di hutan semata-mata untuk menjayakan filem ini.

“Treler tidak menyamai jalan cerita filem ini. Tentunya, ia tidak akan diluluskan Lembaga Penapis Filem (LPF) sekiranya terdapat unsur lucah seperti yang didakwa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fred memaklumkan, pihaknya telah menanggung kerugian hampir RM500,000, susulan tindakan penaja menarik tajaan selepas filem tersebut dikritik hebat, baru-baru ini.

Katanya, dia khuatir akan menanggung lebih banyak kerugian sekiranya salah faham masyarakat terhadap filem itu tidak diperbetulkan.

“Sebanyak RM4 juta telah diperuntukkan untuk membuat filem ini, namun kami terpaksa menanggung kerugian akibat kontroversi.

“Apabila penaja menarik diri, kami tidak mampu mengiklankan filem ini di papan gergasi dan menganjurkan malam gala besar-besaran kerana tiada peruntukan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya