PUTRAJAYA: Penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah kawasan hutan belukar di Cyberjaya yang digempur Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu operasi kelmarin, masih belum dirobohkan.
Tinjauan Utusan Malaysia hampir dua jam di lokasi penempatan haram itu mendapati masih terdapat kelibat beberapa warga asing sedang menaiki motosikal dan berjalan kaki menuju ke salah sebuah perkampungan kecil berkenaan.
Sepanjang berada di lokasi, tidak kelihatan mana-mana pihak berwajib masuk ke kawasan penempatan haram itu walaupun sudah lebih 24 jam ia digempur.
Namun, Utusan Malaysia sempat mendekati dua wanita warga asing yang sedang sibuk mengemas barangan mereka dipercayai untuk berpindah keluar dari kawasan tersebut.
Seorang wanita warga asing dikenali sebagai Watie, 50-an berkata, dia bersama seorang lagi rakan mahu cepat keluar dari penempatan itu sebelum ia dirobohkan pihak berkuasa.
Jelas wanita yang berasal dari Lampung, Indonesia itu, suaminya bersama beberapa penghuni disitu telah ditahan oleh JIM dalam operasi yang dijalankan semalam.
Sekarang saya mahu pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Watie yang bekerja sebagai pekerja pembersihan berkata, kebanyakan mereka yang ditahan dalam operasi semalam membabitkan penghuni di kampung sebelah yang rata-rata penduduknya merupakan suku Madura.
Katanya, dia bersama suami menetap di penempatan itu sejak setahun lalu dan suaminya bekerja sebagai pekerja landskap.
Penempatan haram yang berselindung di sebalik bukit dan hutan belukar itu sukar dikesan kerana terletak kira-kira tiga hingga empat kilometer dari jalan utama.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dalam kenyataan ringkas memaklumkan pihaknya tidak dimaklumkan tentang operasi bersepadu itu
Jelasnya, pihaknya juga sedang mengenal pasti status tapak penempatan haram itu.
“Sekiranya tapak tersebut adalah tanah kerajaan kita akan menyelaraskan bersama pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
“Tetapi, sekiranya tapak tersebut milik individu, persendirian atau pihak pemaju maka pihak majlis akan mengeluarkan arahan agar pemilik tanah memulihkan dan merobohkan penempatan tersebut,” katanya.-utusan