Penduduk ‘derita’ guna jalan berlubang - Utusan Malaysia

Penduduk ‘derita’ guna jalan berlubang

KEADAAN jalan yang berlubang dan rosak memberikan kesukaran untuk penduduk melakukan urusan harian mereka di Kampung But, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seramai 200 penduduk Kampung But, Ketereh di sini berdepan ‘penderitaan’ apabila terpaksa menggunakan jalan rosak setiap kali mahu melakukan urusan harian.

Dakwa mereka, keadaan tersebut sudah berlarutan sejak setahun lalu dan situasi itu bertambah parah akhir-akhir ini apabila ada dalam kalangan penduduk hampir menjadi mangsa kemalangan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Tamlikhan Resdi, 38, berkata, situasi itu mengundang bahaya kepada pengguna disebabkan laluan tersebut berlubang.

“Setiap kali melalui jalan berkenaan, kami terpaksa perlahankan kenderaan kerana keadaan jalan yang sangat teruk dan berlubang.

“Memburukkan lagi keadaan apabila hujan lebat, lubang tersebut akan ditakungi air menyebabkan pengguna tidak dapat mengagak kedalamannya,” katanya di ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Wan Mohd. Yusri Wan Daud, 53, berkata, pihaknya berharap penyelesaian segera dapat diambil bagi memberi keselesaan kepada penduduk yang menggunakan jalan berkenaan.

Katanya, penduduk di sini tiada pilihan lain selain melalui jalan berkenaan kerana ia satu-satu jalan yang lebih dekat untuk keluar ke jalan utama.

“Meskipun ada jalan lain untuk ke jalan utama, namun keadaan jalan di laluan berkenaan turut rosak serta jauh.

“Justeru kami sangat berharap agar pihak berwajib dapat mengambil perhatian dan membaiki jalan berkenaan dengan kadar segera untuk kemudahan penduduk,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok, Datuk Azami Mohd. Nor berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung kerosakan jalan di kawasan berkenaan.

“Namun saya akan mengambil perhatian dan akan meminta penghulu kampung yang terlibat untuk membuat semakan. Kita akan berusaha menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera bagi memberi kemudahan keselesaan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya